UMNO Sabah sedia bincang cadangan daftarkan GRS – Bung Moktar

UMNO Sabah sedia bincang cadangan daftarkan GRS – Bung Moktar

Kota Kinabalu: UMNO Sabah sedia berbincang untuk meneliti cadangan mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah gabungan politik rasmi di Sabah.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bagaimanapun berkata ada beberapa perkara perlu diteliti berhubung cadangan itu yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

“Mungkin itu pandangan peribadi beliau dan perkara ini kita perlu teliti apa keburukan dan kebaikannya.

“Bagi pihak UMNO Sabah, kita sedia berbincang untuk meneliti cadangan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin di Kompleks Sukan Likas, di sini, petang tadi.

Salleh yang juga Pengerusi Kelab Backbencher GRS sebelum ini berkata cadangan itu bagi mengukuhkan kedudukan GRS dan mengelak perpecahan, khususnya di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ia selepas pertembungan kedua-dua gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, Bung Moktar berkata, Salleh mungkin kurang memahami mengenai perkara berkenaan.

“Mungkin ada pandangan yang dia tidak berapa ‘catch up’ tetapi kita akan teliti cadangan ini. Kita akan bincangkan ke arah lebih baik,” katanya.

Cadangan berkenaan mendapat maklum balas positif daripada rakan parti dalam GRS termasuk PAS dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyifatkan cadangan berkenaan sebagai sesuatu yang baik kepada negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|