Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dalam perancangan untuk membina sebuah Stadium SAFA yang kekal.
Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Stadium SAFA ini juga akan menjadi pusat tumpuan bagi para pemain bola sepak di negeri ini.
Katanya, stadium ini penting sebagai satu mercu tanda SAFA dalam proses pembangunan bola sepak negeri.
“Kita juga sepatutnya berbincang dengan kerajaan negeri untuk mendapat tanah di kawasan ini untuk dibangunkan bangunan SAFA.
Bung Moktar menyerahkan cenderahati kepada pengurus pasukan yang menyertai kejohanan berkenaan.
“Ia akan menjadi pusat kekal kepada SAFA yang dapat digunakan untuk pelbagai kejohanan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala DSP Bung Moktar Radin, Bawah 18 Tahun, di Likas, di sini, hari ini.
Bung berkata, beliau amat optimis dengan perancangan itu yang akan menjadi antara anjakan positif dalam dunia bola sepak Sabah.
Katanya, selain Stadium SAFA, beliau juga melihat potensi di daerah lain negeri ini seperti Sandakan, Tawau dan Lahad Datu untuk membina padang bola sepak yang sesuai.
Sementara itu, berhubung program kejohanan itu, Bung Moktar berkata, program ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak iaitu SAFA dan pemain bola sepak itu sendiri.
Katanya ia kerana mereka yang berbakat akan dipilih SAFA sebagai permulaan sebelum mereka akan membarisi pasukan bola sepak Sabah berusia di bawah 19-tahun.
-Deasoka