Rancang perluas Program Kembara Kasih Neelofa di Sabah

Rancang perluas Program Kembara Kasih Neelofa di Sabah

Tuaran: Program Kembara Kasih Neelofa akan diperluaskan ke seluruh negara bermula tahun hadapan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN) Noor Razlina Noor Mohamed berkata, ia termasuklah perancangan untuk pergi ke lebih banyak lokasi luar bandar serta pendalaman di negeri ini.

Katanya, ia bagi tujuan menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan terutamanya di luar bandar.

“Sabah adalah sebuah negeri yang luas dan pastinya program perintis ini masih mampunyai kekurangan ekoran pandemik Covid-19.

“Oleh itu, kita merancang untuk kembali semula ke negeri ini pada tahun depan dan berkolaborasi dengan kerajaan negeri bagi mengadakan program yang lebih besar,” katanya ketika ditemui media sempena program Kembara Kasih Neelofa di Taman Sri Rugading, hari ini.

Noor Razlina berkata, PKN turut merancang mahu mengadakan kunjungan hormat ke atas beberapa jabatan kerajaan di negeri ini.

Katanya, rancangan berkenaan supaya dapat merapatkan lagi hubungan antara dua pihak untuk memudahkan pelaksanaan program di Sabah.

Dalam program yang diadakan kali ini, seramai 237 wakil isi rumah kawasan berkenaan menerima bantuan berupa bakul makanan.

Sabah yang juga negeri kedua pelaksanaan program kembara berkenaan selepas Kelantan berlangsung selama lima hari membabitkan beberapa lokasi di seluruh negeri.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesukaran sepanjang melaksanakan program kembara di Sabah, Noor Razlina berkata, pihaknya tidak merasakan kesukaran dari segi penyaluran bantuan.

Bagaimanapun katanya, semua pihak seharusnya lebih teliti kerana melihat kadar kemiskinan di Sabah agak tinggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|