Piala BMR: Pantai Barat Selatan bertemu Zon Tengah pada separuh akhir esok

Piala BMR: Pantai Barat Selatan bertemu Zon Tengah pada separuh akhir esok

Kota Kinabalu: Pasukan Pantai Barat Selatan akan berentap dengan Zon Tengah dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak SAFA Piala BMR B18 2021 di padang sintetik Likas pada jam 8 pagi esok.

Pasukan Pedalaman Atas pula akan bertemu Pantai Timur Utara dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di Stadium Penampang juga pada waktu yang sama pagi esok.

Pasukan Pantai Barat Selatan mengutip tujuh mata menduduki tangga teratas Kumpulan A, manakala pasukan Pedalaman Atas menduduki tempat teratas Kumpulan B dengan mengumpul lima mata.

Pantai Timur Utara pula menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A dengan mengumpul empat mata manakala Zon Tengah juga mengutip empat mata di tempat kedua bagi Kumpulan B.

Dalam perlawanan peringkat kumpulan pagi ini, pasukan Pantai Barat berkongsi mata dengan Pantai Barat Timur selepas seri 1-1 di Stadium Penampang dan dalam satu lagi perlawanan di venue yang sama, Pantai Barat Selatan menang ke atas Pantai Timur Utara.

Di padang sintetik UMS, Pantai Barat Utara seri 0-0 dengan Pedalaman Atas manakala Pantai Timur Selatan mengalahkan Zon Tengah 1-0.

Pemenang bagi perlawanan pagi esok (Ahad) akan mara ke perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Likas, jam 7 malam esok.

Pasukan yang kalah di separuh akhir pula akan merebut tempat ketiga di mana perlawanan akan diadakan di padang sintetik Likas, pada jam 3 petang.

Juara kejohanan akan menerima hadiah wang tunai RM30,000, sebuah piala rebutan, piala pusingan dan trofi.

Naib juara pula membawa pulang wang tunai RM20,000, piala dan trofi, manakala tempat ketiga akan menerima wang tunai RM15,000, piala dan trofi.

Pemenang tempat keempat turut menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala dan trofi.

Kejohanan yang pertama kali diadakan itu akan memilih seramai 60 pemain berbakat yang akan dikenal pasti oleh panel pemilih yang diketuai Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|