DBKK roboh 56 rumah setinggan di Bakau Likas

DBKK roboh 56 rumah setinggan di Bakau Likas

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjalankan operasi merobohkan 56 rumah setinggan di Bakau Likas, bermula 23 November hingga semalam.

Semua rumah setinggan yang didiami oleh warga asing dirobohkan menerusi ‘Op Roboh’.

Operasi berkenaan turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT); Jabatan Air Negeri Sabah (JANS); Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Datuk Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, sebelum Op Roboh ini diadakan, kawasan itu sudah dibanci oleh penguatkuasaan DBKK pada Februari tahun ini.

Katanya, hasilnya didapati terdapat 267 buah rumah semuanya yang mana 56 daripadanya didiami oleh warga asing.

“Hasil daripada bancian itu notis arahan meroboh dan mengalihkan struktur mengikut Undang-Undang Kecil (Bangunan) DBKK 1951 sudah disampaikan kepada penghuni-penghuni 56 rumah berkenaan pada 22 Mac lalu iaitu lapan bulan yang lalu,” katanya di sini, semalam.

Noorliza berkata, dalam operasi itu, pihak PDRM membantu membuat kawalan keselamatan sepanjang operasi dijalankan manakala JTU membantu operasi merobohkan struktur-struktur haram.

“Pihak JANS dan SESB pula mengambil tindakan memotong penyambungan haram air dan elektrik.

“Operasi ini akan diteruskan di kawasan-kawasan setinggan yang lain di kawasan bandar raya ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|