Siap sedia hadapi PRU – Abdul Kassim

Siap sedia hadapi PRU – Abdul Kassim

Tuaran: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, khususnya dalam menarik sokongan pengundi muda.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tuaran, Datuk Abdul Kassim Razali, berkata undi anak muda bakal menjadi fokus utama dalam PRU kali ini memandangkan ada lebih sejuta pengundi mewakili golongan berkenaan.

“Kita perlu bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya pada bila-bila masa. Pilihan raya kali ini bukan main-main, kita kena fokus pengundi muda yang ada sejuta,” katanya ketika menyempurnakan Persidangan ARMADA Tuaran, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua ARMADA Tuaran, Mohd Ghazali Hajiji.

Abdul Kassim turut mengulas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini yang disifatkannya sebagai sesuatu yang menarim kerana berlaku tanpa diduga.

“Pengalaman kita berkempen di Melaka baru-baru ini, menarik juga sebab semua berlaku dalam tidak diduga,” katanya.

Sementara itu, Abdul Kassim menyifatkan ARMADA Tuaran antara yang paling aktif di Sabah dan seluruh negara dalam melaksanakan pelbagai program untuk golongan muda di kawasan ini.

Katanya, ARMADA Tuaran yang diketuai Ghazali bergerak hampir setiap hari dan minggu melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan hingga ke kampung- kampung.

“Ini yang kita mahukan kerana kita mahu jalankan amanah supaya akhirnya parti kita ini akan menjadi pilihan nombor satu di mata rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat perlu terus mematuhi SOP khususnya penjarakan fizikal memandangkan pandemik Covid-19 masih berlaku.

“Hari ini pun persidangan kita hanya boleh dilakukan dalam tempoh dua jam sahaja. Saya ingatkan, jaga jarak, jangan smpai ada kluster baharu. Kita tidak mahu lagi pahlawan kita gugur akibat Covid-19 ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|