Sabah perlu RM27 bilion pulih masalah air

Sabah perlu RM27 bilion pulih masalah air

Kota Kinabalu: Sabah memerlukan RM27 bilion untuk memulihkan kerosakan loji rawatan air (LRA) di seluruh negeri bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik dan mampu membekalkan air mencukupi kepada pengguna.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ketika ini sebanyak 22 LRA di Sabah dikenal pasti mengalami kerosakan selain sudah terlalu usang menyebabkan ia tidak mampu membekalkan air mencukupi.

“Sebanyak 22 loji ini jika hujan dua hingga tiga jam sudah tidak boleh beroperasi kerana loji ini dibina 20 hingga 30 tahun yang lalu.

“Air dan tebing sungai juga sudah dicemari, jadi 22 loji ini perlu ditutup dan perlu membina loji baru. Pokoknya, untuk menaik taraf loji air di Sabah memerlukan RM27 bilion semuanya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin di Kompleks Sukan Likas, di sini, petang tadi.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditanya berhubung masalah air di Sabah yang semakin kritikal sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan membentangkan hala tuju bekalan air pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

“Saya akan membentangkan perkara ini kepada kerajaan negeri ke arah mana yang kita ambil untuk memastikan rakyat Sabah menerima bekalan air yang lebih baik,” katanya.

Jelasnya kerajaan Sabah tidak mengikut Program Air Negara bersama kerajaan persekutuan menyebabkan tiada agihan peruntukan khusus bagi mengatasi masalah air di negeri ini.

“Air ini masalah negeri kerana Sabah tidak mengikuti program air negara jadi pihak persekutuan tidak boleh mengagih peruntukan khusus untuk Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|