BERSATU sokong usul jawatan Ketua Menteri Sabah dihadkan dua penggal

BERSATU sokong usul jawatan Ketua Menteri Sabah dihadkan dua penggal

Kota Kinabalu: Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah yang bersidang hari ini sebulat suara menyokong usul agar jawatan Ketua Menteri Sabah dihadkan kepada tidak melebihi dua penggal berturut-turut.

Setiausaha Badan Kepimpinan BERSATU Sabah, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, berkata ia bagi membolehkan Ketua Menteri dan seluruh anggota kerajaan negeri memberi fokus kepada agenda pembangunan negeri dan aspirasi rakyat.

Katanya, ia juga bagi membentuk sebuah institusi pentadbiran yang mendukung pembaharuan, menerapkan amal tadbir urus yang baik dan telus serta meningkatkan keberkesanan proses semak dan imbang.

“Ini juga selari dengan pengukuhan perpaduan dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Ia adalah satu daripada enam usul yang dicadangkan dalam persidangan tahunan BERSATU di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usul yang lain ialah untuk mendukung kepimpinan Presiden, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam mengemudi parti di peringkat persekutuan dan negeri.

Katanya, BERSATU Sabah juga sebulat suara menyokong usul mendukung kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta aspirasi dan objektif yang digariskan dalam konsep Sabah Maju Jaya.

“Ia merangkumi usaha membina negeri dan masyarakat yang bersatu padu, aman, makmur dan sejahtera; mengoptimumkan sumber dan hasil negeri; merangsang pemulihan ekonomi; neningkatkan ekonomi rakyat; dan membangunkan modal insan.

“Juga terdapat usul menyokong penuh segala usaha dan inisiatif yang telah digerakkan oleh kepimpinan parti komponen GRS untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan komponen GRS yang terbina sejak MoU GRS dimeterai pada 9 Januari 2021.

“Usul lain termasuk mengesyorkan agar kerajaan Pusat menyempurnakan segera segala kepentingan dan hak negeri sepertimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ia adalah selari dengan aku janji Perikatan Nasional (PN) ketika PRN-16 tahun lalu iaitu memelihara dan memperjuangkan hak-hak negeri Sabah berlandaskan MA63,” katanya.

Beliau berkata, turut diusulkan ialah harapan agar kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberi pertimbangan yang khusus kepada negeri Sabah terutama dalam aspek yang berhubung kait dengan prasarana pembangunan, pendidikan dan perumahan rakyat.

Bahagian BERSATU yang bersidang hari ini ialah Kudat, Penampang, Papar, Kimanis, Tenom, Pensiangan, Ranau, Sandakan, Libaran, Batu Sapi dan Tawau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|