Kota Kinabalu: UMNO Sabah akan mencari kaedah yang sesuai bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November depan.
Ia berikutan arahan terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melarang sebarang perhimpunan berkaitan PRN Melaka berkuat kuasa semalam.
Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan, berkata larangan terkini KKM itu tidak menghalang UMNO Sabah untuk tampil membantu rakan sesama parti pada PRN berkenaan.
“Ini adalah sebagai tanggungjawab bersama dalam parti, sudah tentu hubungan sedia ada iaitu bekerjasama dan saling bantu membantu bahu ke bahu dalam parti.
“Namun kalau kita lihat kepada arahan terkini daripada pihak KKM khususnya yang mana mengehadkan aktiviti berkempen di Melaka sudah tentu kita akan akan cari keadah yang sesuai untuk bekerja sepanjang tempoh berkempen itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Serahan Peranti Cerdik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini mengenai komitmen UMNO Sabah menghantar jentera membantu kempen BN di Melaka.
Ahad lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan keputusan KKM untum menguatkuasakan larangan tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya.
Sementara itu, mengulas lanjut berhubung peratusan jentera UMNO Sabah yang akan menyertai kempen PRN Melaka, Yakub yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (AMT) UMNO berkata, pihaknya belum memutuskan perkara itu.
“Kita belum tetapkan berapa ramai jumlah yang berada di sana (Melaka) dan berapa lama kita berada di sana,” katanya.
Dalam hal berkaitan, Yakub yang juga Ketua Bahagian UMNO Sepanggar, berkata secara peribadi beliau begitu terhutang budi kepada UMNO Melaka kerana turun membantu kempen di kawasannya pada PRN Sabah tahun lalu.
“Melaka terlalu dekat di hati saya kerana pada PRN Sabah yang lalu, Melaka membantu saya di kawasan Karambunai. Sudah tentu saya terhutang budi dan saya akan membalas mana yang termampu,” katanya.
-Deasoka