Sambutan hari jadi cetus kluster baharu Covid-19 di Ranau

Sambutan hari jadi cetus kluster baharu Covid-19 di Ranau

Kota Kinabalu: Majlis sambutan hari jadi mencetuskan kluster baharu Covid-19 berkaitan jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan di daerah Ranau, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Kimolohing itu setakat ini dikenal pasti menjangkiti seramai 49 orang.

“Satu kluster baharu dilaporkan hari ini di Kampung Kimolohing, Ranau. Kluster tersebut dicetuskan melalui majlis sambutan hari jadi seorang penduduk (kes indeks) yang dihadiri oleh keluarga dan sahabat handai.

“Sambutan harijadi turut diadakan di rumah ahli keluarga lain yang dihadiri oleh kes indeks. Setakat ini 49 orang disahkan positif jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Sementara itu, Masidi berkata daripada 565 kes baharu yang dilaporkan di Sabah hari ini, sebanyak 213 kes atau 37.7 peratus dikesan melalui saringan bergejala atau turut dikategorikan sebagai kes sporadik.

Katanya, jumlah itu masih tinggi dan harus menjadi peringatan agar semua penduduk tidak lalai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Penarikan balik sekatan tertentu kegiatan ekonomi dan sosial telah merancakkan aktiviti yang melibatkan perjumpaan dan perhimpunan sama ada di tempat kerja atau di tempat awam.

“Ini meningkatkan risiko jangkitan virus secara sporadik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|