Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni hari ini menerima hadiah raket daripada bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.
Hadiah sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-68 Tun Juhar itu disampaikan Chong Wei ketika menerima watikah Jaksa Pendamai (JP) di Istana Kinabalu, di sini, hari ini.
Chong Wei memaklumkan raket yang diserahkan kepada Tun Juhar pernah digunakannya ketika bertanding pada Sukan Olimpik, manakala sebatang lagi raket yang diberikan kepada Norlidah pernah digunakan pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia.
“Saya tahu Toh Puan meminati sukan badminton dan ‘fan’ saya. Oleh sebab itu saya menghadiahkan raket sebagai pembakar semangat kepada pemain badminton khususnya di Sabah,” katanya ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sabah, di Istana Kinabalu, hari ini.
Bekas jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei (dua kiri) menghadiahkan raket yang pernah digunakannya ketika kejohanan Terbuka Malaysia kepada Toh Puan Norlidah RM Jasni. Pix ihsan Jabatan Penerangan
Chong Wei yang ditemani isteri, Datin Wong Mei Choo menerima watikah Jaksa Pendamai yang disampaikan Tun Juhar.
Seramai lima individu menerima watikah Jaksa Pendamai daripada Tun Juhar hari ini termasuk Chong Wei dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Selain watikah kepada penerima Jaksa Pendamai, Tun Juhar turut menyampaikan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Sabah yang lain membabitkan seramai 120 penerima keseluruhan.
Ia didahului Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
-Deasoka