Edar dadah, dua sahabat dijatuhi hukuman mati

Edar dadah, dua sahabat dijatuhi hukuman mati

Tawau: Dua sahabat karib dijatuhi hukuman gantung sampai mati mandatori selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine di Mahkamah Tinggi Tawau, di sini, hari ini.

Hukuman diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Dr Lim Hock Leng selepas pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran berjaya membuktikan kedua-dua tertuduh tahu mengenai dadah dan terbabit dalam pengedaran Dadah berkenaan.

Dua sahabat karib dijatuhi hukuman gantung sampai mati mandatori selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine di Mahkamah Tinggi Tawau.

Tertuduh, Ardiansyah Sudirman, 33, yang bekerja sebagai buruh dan Muhammad Taufiq Asis, 29, sebagai pengusaha bot didakwa mengedar dadah seberat 327.1 gram.

Kedua-dua tertuduh ditahan di Jeti lama Pusat Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) Tawau pada jam 1 petang, 14 April 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguambela berasingan iaitu Ardiansyah diwakili peguam lantikan mahkamah, Jhassary Kang manakala Muhammad Taufiq diwakili peguam Andy Tay.

Bagaimanapun, peguambela gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sepanjang prosiding berkenaan, pegawai pendakwa memanggil tiga saksi pendakwaan, manakala tertuduh menjadi saksi tunggal masing-masing bagi pihak pembelaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|