Setiausaha Agung STAR meninggal dunia

Setiausaha Agung STAR meninggal dunia

Kota Kinabalu: Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Senator Datuk Guandee Kohoi dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, jam 4.45 petang tadi.

Guandee, 67, yang juga bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dilaporkan dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 5 pagi tadi selepas mengadu sakit dada.

Mendiang berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional (PN) pada petang Ahad lalu tetapi tidak dapat melakukannya selepas dikesan positif Covid-19.

Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata beliau sangat sedih dengan berita itu dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada parti.

Beliau turut menyifatkan Guandee sebagai seorang pejuang dan ahli parti yang sangat berharga serta sukar dicari ganti.

“Beliau adalah rakan saya yang paling setia, dia berada bersama saya ketika susah dan senang, malah ketika saya tiada apa-apa, dia tidak pernah meninggalkan saya.

“Sudah tentu susah untuk mencari penggantinya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata kali terakhir beliau bercakap dengan mendiang ialah pada jam 10 pagi tadi apabila Guandee menghubunginya dari hospital.

“Dia kata dia dalam keadaan baik dan tiada apa yang perlu dibimbangkan. Dia meyakinkan saya yang dia akan keluar dalam tiga empat hari. Ia benar-benar menyedihkan saya,” katanya.

Menurut Setiausaha Sulit Jeffrey, Rizal Johari, keluarga Guandee sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, kecuali isterinya yang turut dikesan positif Covid-19.

Guandee yang berasal dari Kuala Penyu adalah Setiausaha Agung STAR sejak Julai 2016.

Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 16 April lalu sebelum mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya di bawah Kabinet bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|