Suami isteri berdepan lima pertuduhan salah guna kuasa

Suami isteri berdepan lima pertuduhan salah guna kuasa

Tawau: Suami isteri berdepan lima pertuduhan salah guna kuasa dan bersubahat lima tahun lalu, di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Tertuduh pertama, Asmawati Arifin, 51, dan tertuduh kedua yang juga suaminya, Singah@Mohd Ngah Landi, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Asmawati adalah seorang pegawai tadbir operasi yang juga ketua pentadbiran dan kewangan serta ahli jawatankuasa keputusan sebutharga di Jabatan Perhutanan Cawangan Semporna.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perhutanan Daerah Semporna antara 4 hingga 27 Januari 2016.

Asamawati berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan kepada ahli keluarganya.

Tertuduh didakwa dengan sengaja memilih syarikat anak saudara serta syarikat ipar bagi melaksanakan kerja-kerja membina dan membaik pulih di Pejabat Perhutanan Daerah Semporna yang bernilai RM149,280.

Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Tertuduh kedua pula berdepan dua pertuduhan bersubahat dengan isterinya mengikut Seksyen 28(1)(b) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasmi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah kemudianya membenarkan Asmawati diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM3,000 manakala Singah dikenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan deposit RM5000.

Selain itu, kedua-dua pasangan juga diarahkan melapor diri sekali dalam tempoh dua bulan di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mendekati saksi.

Hakim menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|