Covid-19 Sabah: Lima daerah catat kenaikan kes agak tinggi

Covid-19 Sabah: Lima daerah catat kenaikan kes agak tinggi

Kota Kinabalu: Lima daerah mencatat peningkatan kes Covid-19 yang agak tinggi dan menyumbang kepada kenaikan kes baharu di Sabah dengan catatan 565 kes hari ini berbanding 450 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah Beaufort mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 30 kes kepada 48 kes hari ini.

Katanya, ia disusuli daerah Kota Marudu yang mencatat peningkatan 25 kes kepada 38 kes hari ini, diikuti Keningau dan Papar yang masing-masing mencatat peningkatan 19 kes dan Beluran meningkat 11 kes.

Beliau berkata, hanya dua daerah mencatat penurunan signifikan hari ini iaitu Kinabatangan, turun sebanyak 27 kes kepada hanya enam kes hari ini dan Tawau, turun 12 kes kepada lima kes hari ini.

“Sabah mencatat peningkatan 115 kes hari ini menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 565 kes hari ini berbanding 450 kes semalam.

“Jumlah daerah yang mencatatkan peningkatan kes juga agak tinggi iaitu sebanyak 20 daerah, manakala tujuh daerah mencatatkan penurunan kes harian.

“Daripada 20 daerah yang mencatat peningkata, lima daerah merekodkan pertambahan kes baharu paling tinggi iaitu Beaufort, Kota Marudu, Keningau, Papar dan Beluran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya daerah Ranau hari ini mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 59 kes diikuti Kota Belud (55 kes), Keningau dan Kota Kinabalu masing-masing 49 kes serta Beaufort (48 kes).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|