22 anggota bomba Sabah sertai UKTK peringkat kebangsaan secara maya

22 anggota bomba Sabah sertai UKTK peringkat kebangsaan secara maya

Kota Kinabalu: Seramai 22 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menyertai pertandingan cabaran Ujian Kemahiran Taktikal Kebombaan (UKTK) Peringkat Kebangsaan 2021 secara dalam talian di seluruh negara.

Pengarah JBPM Sabah, Md Ali Ismail berkata, pertandingan yang diadakan buat julung kalinya itu berlangsung selama dua hari itu bermula semalam dan berakhir hari ini.

Katanya, sebanyak tujuh acara dipertandingkan iaitu lima acara berkumpulan manakala dua lagi secara individu membabitkan anggota dan pegawai di seluruh negeri Sabah.

“Konsep pertandingan UKTK ini lebih kepada tugas hakiki pasukan bomba termasuk fizikal dan mental, kekuatan, kecergasan, kepantasan serta kecekapan mengendalikan peralatan secara betul.

“Ia juga bagi memastikan tahap kecekapan pegawai memakai PPE untuk hadir ke operasi selain penekanan segi semangat berpasukan,” katanya ketika ditemui, di Ibu Pejabat JBPM Sabah, Lintas, hari ini.

Md Ali berkata, pasukan JBPM Sabah diwakili 22 anggota termasuk dua wanita daripada 25 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negeri.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah yang menyertai pertandingan cabaran Ujian Kemahiran Taktikal Kebombaan (UKTK) Peringkat Kebangsaan 2021 secara dalam talian di seluruh negara.

Katanya, setakat ini, prestasi pasukan JBPM Sabah memberansangkan dan pencapaian menerusi catatan masa juga amat baik.

Untuk rekod, pertandingan itu merangkumi lima acara berkumpulan iaitu cabaran ‘firefit’, ‘ladder’, ‘tower’, ‘hercules’ dan ‘relay’ manakala acara individu pula adalah cabaran ‘braveheart’.

Ia disertai oleh 16 pasukan JBPM daripada seluruh negara dan keputusan pertandingan ini dijangka akan diumumkan petang hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|