Kota Kinabalu: UMNO Sabah akan turun ke Melaka untuk membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri itu dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November depan.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimie Unggi, berkata jentera UMNO Sabah termasuk jentera Penerangan dan skuad pidatonya akan turun berkempen bermula pada hari penamaan calon, 8 November ini.
Katanya, jentera UMNO Sabah akan ditempatkan di Parlimen Jasin untuk membantu kempen UMNO di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada di kawasan berkenaan.
“UMNO Sabah akan memastikan kemenangan di semua DUN dalam Parlimen Jasin sebagai hadiah membantu jentera UMNO Melaka dalam kempen PRN di negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Parlimen Jasin mengandungi lima kerusi DUN iaitu Bemban, Serkam, Sungai Rambai, Rim dan Merlimau dengan empat daripadanya disandang ADUN Barisan Nasional (BN), manakala satu kerusi iaitu Bemban dikuasau ADUN Parti Keadilan Rakyat.
PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negerinya, Tun Mohd Ali Rustam.
Pembubaran DUN negeri itu dibuat selepas kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai tarikh penamaan calon, diikuti mengundi awal pada 16 November dan pengundian sebenar pada 20 November dengan tempoh kempen selama 12 hari.
Secara keseluruhan, Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dengan 13 kerusi dikuasai blok kerajaan, 11 kerusi di pihak pembangkang, manakala empat kerusi lagi disandang ADUN kerajaan yang menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH menguasai 15 kerusi mengalahkan BN yang mendapat 13 kerusi sekali gus membolehkannya membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, kerajaan PH Melaka jatuh selepas seorang ADUN DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee, seorang ADUN PKR dan dua ADUN BERSATU menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat dan negeri pada Mac tahun lalu.
-Deasoka