Lahad Datu: Seorang wanita berusia 29 tahun diselamatkan anggota bomba selepas dilaporkan terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir lima meter di Taman Bukit Perdana, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12 tengh hari itu, mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan ditemui oleh orang awam sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah hari.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, mangsa masih berada di dalam longkang dan pasukan bomba terus menjalankan operasi menaikkan mangsa menggunakan stretcher.
“Mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 1.35 petang.
Katanya, mangsa yang mempunyai sejarah kesihatan sakit mental berada dalam keadaan separuh sedar.
-Deasoka