Covid-19 Sabah: 426 kes hari ini, terendah sejak 16 Julai

Covid-19 Sabah: 426 kes hari ini, terendah sejak 16 Julai

Kota Kinabalu: Kes baharu Covid-19 di Sabah turun semula ke paras di bawah 500 dengan hanya 426 kes hari ini berbanding 695 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penurunan sebanyak 269 kes itu menjadikan kes hari ini yang terendah sejak 16 Julai lalu.

Beliau berkata, semua daerah di Sabah mencatat kes di bawah 50, dengan hanya lima daerah merekodkan peningkatan pada jumlah kecil atau sederhana.

“Antara daerah yang mencatatkan penurunan ketara ialah Kota Belud (-78 kes), Kudat (-44 kes), Beaufort (-32 kes), Tenom (-21 kes), Keningau (-14 kes), Tuaran (-14 kes) dan Tawau (-14 kes).

“Hanya 266 kes atau 62.43 peratus adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu, manakala selebihnya adalah kes yang didaftar lewat melebihi dua hari setelah keputusan saringan diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi berkata, 96.48 peratus kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2 yang lazimnya hanya memerlukan rawatan dan penilaian di rumah atau di PKRC.

Katanya, hanya satu kes berada dalam Kategori 3, empat kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5, manakala lapan kes lagi masih dalam penilaian pihak JKNS.

“Masyarakat digesa agar terus mematuhi SOP yang telah digariskan kerana faktor utama yang mempengaruhi perubahan angka setiap hari adalah sikap kita sendiri,” katanya.

Hari ini, dua daerah tidak mencatat kes baharu iaitu Tongod dan Kuala Penyu, manakala hanya satu kes di Kalabakan.

Daerah Kota Belud pula kekal mencatat kes tertinggi dengan sebanyak 45 kes hari ini, diikuti Kota Kinabalu (43), Ranau (36), Kota Marudu (34), Tenom (34), Keningau (27), Pitas (22), Tuaran (22) dan Sipitang (20).

Selebihnya, Penampang (17), Tambunan (16), Papar (14), Sandakan (14), Beaufort (14), Lahad Datu (11), Putatan (10), Kudat (10), Beluran (9), Kinabatangan (7), Nabawan (5), Tawau (5), Telupid (4), Semporna (3) dan Kunak (3).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|