UMNO Sabah akur keputusan UMNO Pusat – Bung Moktar

UMNO Sabah akur keputusan UMNO Pusat – Bung Moktar

Kota Kinabalu: UMNO Sabah mengambil pendirian akur kepada keputusan UMNO Pusat berhubung soal agihan kerusi yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata UMNO Sabah akan mengikut keputusan UMNO Pusat untuk mempertahankan kerusi yang ditandingi pada pilihan raya lalu.

Berikutan itu, katanya UMNO Sabah sedia berdepan dengan mana-mana parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRU-15 yang dijangka diadakan seawal tahun depan.

“Parti sudah membuat keputusan bahawa UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada PRU yang lalu.

“Di Sabah kita ada GRS tetapi apabila parti membuat keputusan untuk kita bertanding maka UMNO Sabah tiada pilihan.

“UMNO kena mempertahankan kerusi yang ditandingi dan seterusnya akan memperkasakan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, UMNO sudah mengharungi pelbagai dugaan dan pernah menang atau kalah dalam pilihan raya sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya ia tidak menjadi masalah kepada UMNO Sabah untuk berdepan mana-mana parti dalam PRU akan datang.

“Ini bukan satu rintangan yang besar kepada kita untuk berdepan dengan mana-mana parti pada PRU akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut meminta agar semua jentera parti di semua peringkat untuk bersedia menghadapi PRU-15.

Ketika ini UMNO Sabah hanya memiliki dua kerusi Parlimen iaitu di Kinabatangan dan Kimanis.

Semalam, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata pihaknya sedia berdepan dengan UMNO apda PRU-15 jika gagal mencapai kata sepakat mengenai kerjasama antara parti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|