Kota Kinabalu: Kaedah penguatkuasaan dan kebergantungan kepada petugas barisan hadapan sudah tidak berkesan dalam usaha untuk mengekang penularan Covid-19.
Mengakui perkara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia kerana tiada siapa yang dapat meramal siapa pembawa atau yang sudah dijangkiti virus berkenaan.
“Berdasarkan analisa, kaedah bergantung sepenuhnya kepada petugas barisan hadapan dan penguatkuasaan sudah tidak berkesan kerana tiada siapa boleh meramalkan siapa yang menjadi pembawa atau siapa yang sudah dijangkiti.
“Kita perlu terima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama virus Covid-19 dan amalan terbaik yang boleh disarankan ialah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kendiri, selain usaha vaksinasi yang sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata mengekalkan ‘trend’ penurunan kes positif Covid-19 dengan sebanyak 767 kes hari ini, menurun 17 kes berbanding 784 kes semalam.
Katanya, ‘trend’ penurunan itu sejajar dengan jumlah daerah yang mencatatkan penurunan iaitu 15 daerah, manakala 11 daerah lain mencatatkan sedikit peningkatan manakala satu daerah iaitu Kinabatangan kekal mencatat kes yang sama seperti semalam.
“Bagi daerah yang mencatat penurunan berbanding catatan kes semalam, Ranau mencatatkan penurunan tertinggi hari ini dengan 21 kes, diikuti Beluran turun 16 kes, Tenom (14 kes), Pitas (12 kes) dan Kunak turun 11 kes.
“Daerah yang mencatatkan peningkatan ketara pada hari ini pula didominasi oleh Kota Kinabalu yang mencatatkan peningkatan sebanyak 33 kes, Kudat meningkat 19 kes, Sipitang bertambah 12 kes dan Papar bertambah 11 kes.
“Sistem kemas kini data bagi daftar lewat kes jangkitan harian juga berada dalam keadaan baik sungguhpun jumlah kes tertunggak untuk kes daftar melebihi empat hingga lima hari ini meningkat sedikit berbanding semalam,” katanya.
Bagaimanapun, saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang utama kes harian di Sabah dengan 54.63 peratus daripada jumlah kes harian pada hari ini.
-Deasoka