Seorang daripada dua beradik masih hilang

Seorang daripada dua beradik masih hilang

Labuan: Seorang daripada dua beradik tiri yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Sungai Pagar, di sini, hari ini, ditemui selamat.

Mangsa Al Faiez Rizal Adnan, 23, yang ditemui selamat sudah dihantar ke Hospital Labuan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Manakala adiknya, Al Saeif Manahan, 17, masih gagal ditemui sehingga kini dan operasi mencari terus dijalankan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan bot bomba untuk menjalankan operasi mencari.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kehilangan dua lelaki terbabit disahkan benar dan operasi mencari mangsa menggunakan bot bomba segera dijalankan.

“Operasi turut dibantu unit Scuba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Jawa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, ketika ditemui, mangsa dilaporkan terapung dalam keadaan lemah sebelum diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat JBPM yang menjalankan operasi.

Setakat jam 4.30 petang tadi, mangsa yang hilang masih gagal ditemui.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|