Pindaan dasar atau polisi perlu diteliti demi kepentingan rakyat Sabah – Hajiji

Pindaan dasar atau polisi perlu diteliti demi kepentingan rakyat Sabah – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri akan sentiasa memastikan setiap pindaan polisi kerajaan adalah atas dasar kesejahteraan rakyat terutama yang membabitkan soal ekonomi negeri dan rakyat.

Berikutan itu, beliau berkata pihaknya akan meneliti setiap perkara yang membabitkan perubahan dasar atau pindaan undang-undang agar tidak bercanggah dengan perlembagaan atau menjejaskan hak dan kepentingan rakyat Sabah.

Katanya, perkara itu dijelaskan dalam perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, hari ini.

“Ini adalah bertujuan untuk memastikan sebarang perundangan dan polisi tidak bercanggah dengan perlembagaan sekali gus menjamin dan memelihara hak rakyat khususnya rakyat Sabah.

“Pihak kerajaan negeri akan sentiasa memastikan setiap polisi atau dasar yang dipinda adalah atas dasar kesejahteraan rakyat terutamanya melibatkan ekonomi negeri dan rakyat.

“Saya percaya di bawah kepemimpinan baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, agenda untuk mengembalikan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak bukanlah omong kosong sebaliknya antara fokus utama kerajaan yang akan ditunaikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan beliau menyusul selepas menerima kunjungan hormat Wan Junaidi dan Maximus di kediaman rasmi Ketua Menteri, di Sri Gaya, hari ini.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Seri Safar Untong dan Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.

Hajiji berkata, pelbagai perkara berkaitan perundangan dan polisi dibincangkan dan diteliti dalam perjumpaan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|