Lima rumah dibaikpulih TDM dalam program PJM

Lima rumah dibaikpulih TDM dalam program PJM

Kota Kinabalu: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Tentera Darat Malaysia (TDM) melancarkan Projek Jiwa Murni (PJM) di seluruh negara yang membabitkan bantuan kepakaran membina rumah masyarakat awam.

Program yang diselia Jawatankuasa Civil Military Cooperation (CIMIC) KEMENTAH diteruskan dengan inisiatif melaksanakan projek baikpulih lima rumah di negeri ini yang memerlukan pembaikan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Divisyen Kelima Infantri (5 Div) Kem Lok Kawi berkata, projek berkenaan diaturgerak bermula 30 Ogos lalu dan dijangka tamat pada 8 Oktober depan.

Katanya, ia dijalankan menerusi pasukan Skuadron Kelima Rejimen Askar Jurutera Diraja (5 Skn RAJD) dan pasukan naungan bawah 5 Div yang lain diatur gerak bersama aset TD terlibat.

“Projek baik pulih ini melibatkan dua rumah di Kota Kinabalu dan dua rumah di Kinabatangan serta sebuah rumah di Tuaran.

“Pasukan 5 Skn RAJD melaksanakan tinjauan ke beberapa lokasi seperti berikut untuk mengenalpasti kos dan skop kerja sebenar berdasarkan kepada peruntukan yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu berkata, salah sebuah Projek Khas Baik Pulih Rumah yang dijalankan adalah milik veteran ATM, Osman Abdullah di Kampung Tambalang Laut Pantai Dalit, Tuaran.

Katanya, proses baik pulih bagi projek itu siap dalam tempoh dua minggu bermula 9 hingga 25 September lalu.

“Antara kerja-kerja yang dilaksanakan adalah membaikpulih beranda rumah, menukar kerangka bumbung reput dan bocor serta menukar papan dinding dan lantai rumah yang rosak

“Selain itu, ia juga membabitkan kerja-kerja menukar siling yang rosak dan mengecat,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan PJM itu bertujuan untuk membentuk jalinan kerjasama antara TD bersama penduduk setempat sekali gus dapat memberi sumbangan khidmat bakti kepada masyarakat setempat.

“Aktiviti seumpama ini juga dapat mengekalkan hubungan antara TD dengan awam seperti mana yang digariskan dalam Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|