UMNO perlu bijak menyesuaikan diri dengan situasi semasa – Bung Moktar

UMNO perlu bijak menyesuaikan diri dengan situasi semasa – Bung Moktar

Kota Kinabalu: UMNO perlu bijak meneliti perubahan demografi dan melakukan penyesuaian terhadap dasar yang ditunjanginya mengikut arus semasa untuk mengelakkan parti itu ditolak pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata meskipun banyak kebaikan dilakukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk rakyat sebelum ini, namun situasi semasa sudah banyak berubah.

Katanya, rakyat tidak lagi mengambil kira apa yang sudah dilakukan pada masa lalu, lebih-lebih lagi ketika ini rakyat berdepan dengan cabaran kesihatan dan ekonomi disebabkan penularan Pandemik Covid-19.

“Apa yang rakyat mahukan ialah tindakan serta-merta membantu mereka yang terhimpit dengan cabaran kehidupan ketika ini, selain menyeleaikan isu yang tertunggak,” katanya pada program penyampaian hadiah Pertandingan Pidato On Line secara maya anjuran Biro Penerangan UMBO Sabah, di sini.

Hadir sama secara maya ialah Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian; Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimee Unggi.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata pemilihan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri wajar menjadi penyuntik semangat untuk semua ahli UMNO mengukuhkan semangat perjuangan menghadapi PRU-15.

“UMNO mesti meneliti perubahan ini, UMNO mesti melakukan penyesuaian terhadap dasar yang ditunjanginya dengan pendekatan dan tindakan dilakukan di peringkat bahagian serta cawangan supaya selari dengan keadaan semasa,” katanya.

Jelasnya, walau sehebat mana sejarah sesebuah parti, namun ia bukan jaminan ia dapat terus berkuasa jika tidak berjaya menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan semasa.

“Kita tidak boleh bersandar semata-mata kepada sejarah tetapi kita mesti menunjukkan bahawa sebagai sebuah parti yang lahir 75 tahun lalu, kita tetap relevan, tetap sesuai, tetap jadi parti pilihan rakyat tanpa mengira tempat dan keadaan.

“Kita mesti akur dan mesti insaf, mana-mana parti yang tidak menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa meskipun parti itu sehebat mana, budi sebesar mana, kejayaan setinggi mana sekalipun, parti itu akan tetap tergugat kedudukannya,” katanya.

Pada masa yang sama, Bung Moktar turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya mendahulukan rakyat dalam apa keadaan sekalipun untuk mengelakkan parti itu dilihat sebagai parti berkepentingan sendiri.

Sementara itu, mengulas pertandingan berkenaan, Bung Moktar berkata ia adalah pendekatan terbaik meskipun dilaksanakan secara maya bagi mencungkil bakat pemidato yang boleh dimanafaatkan oleh parti ketika menghadapi PRU-15.

“Kita perlu sedar dan perlu bersedia menghadapi norma baharu ketika pandemik Covid-19 melanda negara dan keadaan mungkin akan mengambil masa lama sehingga kita berhadapan PRU-15 akan datang yang mengehadkan kita berkempan cara tradisional,” katanya.

Menurut Bung Moktar, cara berkempen secara maya seperti sidang video perlu dimanfaatkan dalam norma baharu dengan penambahbaikan cara penyampaian, teknik dan isu yang dibangkitkan agar sampai kepada sasaran.

Pertandingan Pidato On Line itu disertai 23 pemidato dari seluruh bahagian UMNO Sabah johan dimenangi oleh peserta mewakili Kalabakan, Mohd Fikri Mohd Jumat, diikuti tempat kedua mewakili Kimanis, Nornikman Ag Kati dan tempat ketiga, Dg Sabrina Pg Jaafar yang mewakili UMNO Papar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|