Aksi ‘rilakkuma bear’ curi tumpuan di PPV

Aksi ‘rilakkuma bear’ curi tumpuan di PPV

Beaufort: Kehadiran seorang wanita yang mengenakan kostum ‘rilakkuma bear’ menarik perhatian ramai termasuk petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Pa’Musa, di sini, hari ini.

Wanita terbabit, Noorsyakella Daineh, 30, yang sepatutnya hadir bagi mendapatkan vaksin dos kedua diserbu orang ramai yang mengambil kesempatan untuk mengambil gambar bersama.

Noorsyakella berkata, keputusannya datang dengan memakai kostum itu bertujuan untuk menceriakan suasana di pusat berkenaan.

Katanya, dia berharap kehadirannya dapat menghiburkan orang ramai dan petugas barisan hadapan yang bertugas di PPV berkenaan.

“Namun tanpa disangka, ia mendapat sambutan yang amat mengalakkan. Sebaik keluar dari kenderaan, saya terus diserbu orang ramai yang mahu mengambil gambar.

“Ia mengambil masa hampir setengah jam untuk melayan permintaan mereka yang mahu mengambil gambar kenangan bersama kostum rilakkuma bear ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Noorsyakella berkata, keadaan bertambah ceria sebaik masuk ke dalam dewan berkenaan apabila ramai petugas barisan hadapan yang teruja melihat kehadiran watak animasi itu.

“Rata-rata petugas barisan hadapan gembira apabila melihat aksi ‘patung bergerak’ yang comel di dalam dewan PPV berkenaan.

“Namun walaupun mendapat perhatian ramai, namun ia tidak mengganggu proses vaksinasi yang berjalan dengan lancar,” katanya.

Noorsyakella berkata, keadaan di pusat berkenaan agak sibuk dengan kehadiran lebih 500 orang yang hadir bagi mendapatkan vaksin dos kedua.

Sementara itu, Noorsyakella turut menyarankan orang ramai yang masih belum mendapatkan vaksin supaya hadir ke PPV itu bagi mendapatkan dos pertama secara ‘walk in’.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|