OP Khas Ambang Merdeka – Cegah lumba haram, samseng jalanan

OP Khas Ambang Merdeka – Cegah lumba haram, samseng jalanan

Sandakan : Sebanyak 15 motosikal dan lapan belas keping saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan, dalam Operasi Khas Ambang Merdeka yang dijalankan, di Jalan Sungai Batang Batu 10, di sini, semalam.

Operasi yang dijalankan selama lima jam itu menumpukan usaha membendung kegiatan samseng jalanan termasuk lumba haram.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Katanya, dalam operasi berkenaan, pihaknya berjaya menahan dua penunggang motosikal berusia 17 dan 18 tahun, selepas disyaki terbabit dalam aktiviti lumba haram.

“Kedua-dua suspek ditahan dan dibawa balik ke IPD Sandakan bersama motosikal mereka untuk siasatan lanjut.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Azhar berkata, dalam operasi, pihak turut menyita 13 lagi motosikal untuk siasatan mengikut Seksyen 60(1) APJ 1987.

Katanya, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan lumba haram.

Sehubungan itu, Mohd Azhar menasihati masyarakat terutamanya ibu bapa supaya sentiada memantau kegiatan anak masing-masing.

Katanya, ia bagi memastikan mereka tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk aktiviti perlumbaan haram.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|