Hampir sekampung terdedah jangkitan COVID-19 gara-gara seorang wanita bergejala

Hampir sekampung terdedah jangkitan COVID-19 gara-gara seorang wanita bergejala

Kota Kinabalu: Seorang wanita bergejala menyebabkan hampir sekampung penduduk terdedah kepada jangkitan Covid-19 gara-gara menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga di Kampung Nasakot, Ranau baru-baru ini.

Wanita berumur 40 tahun itu yang menjadi kes indeks Kluster Nasakot berkaitan jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan di Sabah hari ini dikatakan mengalami gejala demam, selesema dan hilang deria rasa serta bau sejak 12 Ogos lalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata walaupun bergejala, wanita terbabit masih menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga yang berlanjutan selama tujuh hari pada 14 Ogos lalu di Kampung Nasakot, Ranau.

“Kluster Nasakot adalah kluster jenis komuniti yang berlaku di Kampung Nasakot, Ranau. Kes indeks adalah wanita berumur 40 tahun yang dikesan positif COVID-19 ketika menjalani saringan pra kemasukan ke wad untuk membawa anak mengidap Talaesemia di Hospital Ranau pada 20 Ogos lalu.

“Siasatan awal mendapati, kes indeks terlebih dahulu membawa anaknya untuk transfusi darah di Hospital Ranau pada 3 Ogos lalu dan saringan kemasukan ke wad adalah negatif. Oleh itu, mereka dibenarkan keluar pada 5 Ogos dan hanya berada di rumah sejak 6 Ogos.

“Namun, pada 12 Ogos, kes indeks dilaporkan mula menunjukkan gejala demam, selesema, hilang deria rasa dan bau. Tidak endah dengan simptom, pada 14 Ogos, kes indeks menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga yang berlanjutan selama tujuh hari bersama-sama hampir keseluruhan penduduk Kampung Nasakot,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata saringan kontak rapat yang dijalankan pada 21 hingga 23 Ogos berjaya mengesan empat kontak rapat yang menjadi sub-indeks bagi kes seterusnya.

Katanya, perkumpulan beramai-ramai ketika majlis pengebumian itu mencetus penularan wabak dalam komuniti Kampung Nasakot dan Kampung Tanid di Mukim Malinsau, Ranau dengan seramai 31 orang termasuk dua kes baharu dikesan positif Covid-19 daripada 95 kontak yang disaring setakat ini.

Satu lagi kluster direkodkan di Sabah hari ini, iaitu Kluster Sawit Jeroco, di mukim Segama, Lahad Datu adalah berkaitan jangkitan di tempat kerja di sebuah kilang kelapa sawit.

Masidi berkata, kes indeks ialah pekerja kilang, iaitu lelaki berumur 27 tahun yang disahkan positif COVID-19 di pada 26 Ogos lalu selepas bergejala sehari sebelum itu.

“Pihak pengurusan kilang dan klinik panel kemudian melakukan saringan kontak dan saringan bersasar mulai 26 hingga 28 Ogos membabitkan 215 kontak sebelum mengesan seramai 57 individu positif termasuk 25 kes baharu hari ini.

“Seramai 194 individu lagi didapati negatif saringan pertama. Semua kes positif COVID-19 sudah dirujuk ke CAC Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan. Kontak rapat pula sudah diarah menjalani kuarantin di ladang.

“Kebanyakan kes adalah dalam kalangan bukan warga negara yang masih belum menerima vaksin. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|