Komuniti laut semarakan Sambutan Hari Kebangsaan bersama APMM

Komuniti laut semarakan Sambutan Hari Kebangsaan bersama APMM

Tawau: Lebih 30 komuniti maritim di perairan daerah ini menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan dengan menyertai program Jalur Gemilang anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau, hari ini.

Program yang berlangsung selama empat jam itu membabitkan 25 pegawai dan anggota Maritim Malaysia bersama tiga aset bot turut mengagihkan jalur gemilang kepada bot-bot sekitar perairan berkenaan.

Penyelaras program, Timbalan Pengarah Zon Maritim(Operasi), Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, program seumpama itu dianjurkan setiap tahun namun kali ini pertama kali membabitkan komuniti maritim di perairan Tawau.

Katanya, selain mengedarkan Jalur Gemilang kepada komuniti maritim, program berkenaan turut dimeriahkan dengan acara konvoi bersama bot Maritim Malaysia dan bot-bot penambang ke jeti Sungai Melayu.

“Program semarakan kemerdekaan diadakan setiap tahun cuma berbeza tahun ni, julung julung kalinya kita bersama dengan komuniti setempat.

“Kita akan pastikan kibaran jalur gemilang dapat disemarakkan setiap tahun dan memastikan setiap warga Tawau mempunyai mempunyai semangat cintakan negara,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Amiludin berkata, program berkenaan amat berjaya melihatkan kepada komuniti maritim yang turut merasa kemeriahan dan gembira bersama Maritim Malaysia dalam Program Semarakan Merdeka kali ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Melayu, Mohd Zikri Sundu berkata, sambutan hari kebangsaan berkenaan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

“Alhamdulillah nelayan dan bot penambang sama-sama bersemangat menjayakan program ini.

“Terima kasih kepada pihak Maritim Malaysia Tawau kerana menganjurkan program semarak Merdeka untuk kemerdekaan Malaysia yang ke-64,” katanya.

Mohd Zikri berkata, beliau berharap semoga tahun ini semua rakyat Malaysia terhindar dari penyakit Covid-19.

Kemeriahan berkenaan turut dirasai oleh pengusaha bot penambang, Rosli Anuar, yang menyokong penuh sambutan berkenaan.

Katanya, walaupun negara berhadapan pandemik Covid-19, namun semangat Merdeka sentiasa terpahat dihati.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|