Covid-19 Sabah: Kes naik semula hari ini

Covid-19 Sabah: Kes naik semula hari ini

Kota Kinabalu: Selepas mencatat penurunan dua hari berturut-turut, kes Covid-19 di Sabah meningkat semula kepada 2,594 kes berbanding 2,310 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata dua kluster baharu turut dicatat hari ini iaitu Kluster Sawit Jeroco di Lahad Datu dan Kluster Naskot, Ranau.

Katanya, sehingga kini sebanyak 57 kes positif Covid-19 dikesan dalam Kluster Sawit Jeroco, termasuk 25 kes baharu, manakala 31 kes termasuk dua kes baharu dikesan melalui Kluster Nasakot.

“Hari ini ialah Hari Kebangsaan Malaysia yang disambut dan diraikan setiap tahun tetapi dalam peperangan kita melawan pandemik Covid-19, belum ada yang kita boleh raikan hari ini.

“Selepas kes harian turun dua hari berturut-turut, ia naik semula hari ini sebanyak 284 kes, menjadikan jumlah baharu keseluruhan 2,594,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kenaikan mendadak kes dikesan di daerah Papar iaitu bertambah 215 kes kepada 264 kes hari ini berbanding hanya 49 kes semalam.

Katanya, daerah Sandakan pula mencatat kenaikan 68 kes, diikuti Putatan (naik 37 kes), masinh-masing naik 31 kes di Penampang dan Kota Kinabalu.

Sementara itu, Masidi berkata walaupun saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang utama kepada kes baharu dengan 1,573 kes (60.6 peratus) hari ini, peningkatan kes melalui saringan bergejala turut membimbangkan.

“Kes melalui saringan bergejala naik kepada 787 kes (30.3 peratus) hari ini berbanding 680 kes atau 29.4 peratus, semalam.

“Kes dalam kategori ini adalah dianggap kes-kes sporadik, yakni pembawa atau punca virus sukar dikenal pasti mahupun tempat dimana dijangkiti. Ia juga adalah tanda-tanda bahawa virus sudahpun berada dalam komuniti kita,”

Katanya, kes sporadik sering dikaitkan dengan kegagalan atau kecuaian mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan penjagaan kesihatan diri yang tidak sempurna.

“Peratusan kes daripada kategori ini agak tinggi di beberapa daerah kalau kita ambil statistik hari ini sebagai petunjuk; Tawau 44.6 peratus, Penampang 41.4 peratus, Putatan 38.5 peratus dan Kota Kinabalu 31.9 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, katanya daripada 2,594 kes hari ini, sebanyak 1,938 (74.7 peratus) adalah pesakit dalam kategori dua, diikuti 564 kes (21.7 peratus) pesakit dalam kategori satu, 15 kes dalam kategori tiga, empat kes dalam kategori empat dan 12 kes dalam kategori lima.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|