UMNO Penampang kemuka usul sokong Ismail Sabri sebagai PM

UMNO Penampang kemuka usul sokong Ismail Sabri sebagai PM

Kota Kinabalu: UMNO Bahagian Penampang menyokong penuh usul kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan kepimpinan parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.

Ketuanya, Datuk Mohd Hasnol Ayub berkata, usul itu adalah antara yang diputuskan pada persidangan serentak Bahagian, Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO Penampang.

“Antara lain yang kita usulkan hari ini adalah menyokong kepimpinan negara, kita menyokong kepimpinan UMNO begeri dan juga kepimpinan UMNO bahagian.

“Kita di Bahagian Penampang atau di Sabah hanya melihat kepada kepimpinan presiden kerana beliau seorang yang mengangkat parti UMNO dan dia (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) adalah lambang institusi itu sendiri,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Penampang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO bahagian akan akur dengan apa saja keputusan di peringkat tertinggi UMNO.

“Apapun keputusan yang dibuat UMNO Pusat mahupun pihak negeri, di bahagian kita cuma mengangkat dan melaksanakan apa yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas jika di peringkat bahagian ada menerima khabar angin mengenai gerakan cuba menjatuhkan presiden parti, beliau memaklumkan tidak menyedari mengenai hal itu.

“Kita tidak sedar dan kita tidak ada berita seperti ini. Mungkin khabar angin,” katanya.

Terdahulu, UMNO Bahagian Penampang mengemukakan usul menyokong Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selain turut menyokong Ahmad Zahid sebagai Presiden yang memimpin UMNO.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang, Senator Noraini Idris.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|