UMNO hargai kesetiaan ahli – Mahdzir Khalid

UMNO hargai kesetiaan ahli – Mahdzir Khalid

Kudat: UMNO amat menghargai kesetiaan ahlinya yang masih kekal dalam perjuangan parti itu walaupun ditinggalkan pemimpin yang keluar selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ahli akar umbi yang kekal setia bersama UMNO menjadi tunjang kekuatan parti itu dalam meneruskan perjuangannya.

“Tunjang kekuatan UMNO adalah ahli di peringkat akar umbi yang tidak mengalah biarpun diuji dengan situasi kehilangan beberapa pemimpinnya yang keluar parti pada 2018.

“Saya tak kisah mereka hendak pergi ke mana tetapi yang hendak saya nyatakan ialah semangat ahli cawangan, Ketua Cawangan, Ketua Wanita, Pemuda, Puteri dan kepemimpinan bahagian yang terus berjuang walaupun sudah tahu kita kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Cawangan UMNO Berkelompok Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka dan DUN Pitas di Pejabat UMNO Bahagian Kudat, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata ahli yang setia kepada parti itulah yang meneruskan kelangsungan UMNO di seluruh negara.

Katanya, ahli UMNO juga tidak perlu lagi malu untuk memakai baju berwarna merah yang melambangkan UMNO atau mengaku diri sebagai ahli UMNO.

Dalam tempoh 22 bulan menjadi pembangkang, katanya UMNO tidak mempunyai apa-apa dan terpaksa pula berdepan pelbagai ujian seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihanraya Negeri Sabah Ke-16 (PRN-16).

“Datuk Seri Bung Moktar turut diuji PRK Kimanis, panggil kawan-kawan seluruh Sabah, ketika itu kita pembangkang, kita mahu himpunkan jentera, jentera pun kurang pengalaman,” katanya.

Mahdzir berkata, kemenangan pada PRN-16 meletakkan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai peneraju bersama kerajaan negeri.

“Dari Perlis sampai ke Sabah, UMNO sebuah parti yang ada strukturnya di semua peringkat. Kita kena terus kuatkan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti dan kekuatan UMNO ada pada akar umbi. Kita nak menang pilihan raya dan kembalikan agenda membangunkan negara.

“Jangan jadi macam ketam dalam kotak, satu nak naik, yang lain tarik sampai jatuh. Sampai tidak ada yang boleh keluar. Elakkanlah sikap seumpama itu di dalam UMNO. Marilah kita sama-sama bersolidariti untuk meneruskan agenda perjuangan parti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|