Kerjasama negeri, Pusat bangunkan industri nanas di Sabah

Kerjasama negeri, Pusat bangunkan industri nanas di Sabah

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri akan membentuk kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membangunkan industri penanaman nanas di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata kerjasama itu bakal menyaksikan wakil kedua-dua kementerian membentuk jawankuasa untuk membantu strategi meningkatkan produktiviti industri nanas di negeri ini.

“Ketika ini, industri nanas hanya mengeluarkan kurang daripada RM200 juta nilai nanas setahun. Melalui kerjasama ini, kita berharap untuk meningkatkan kawasan penanaman nanas kepada 4,100 hektar dalam lima tahun dengan nilai hasil RM643 juta.

“Ini juga akan meningkatkan pendapatan bulanan peserta kepada purata RM8,900 dan industri ini juga disasar dapat menyediakan 26,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya selepas perjumpaan dengan Timbalan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohammad di Wisma Pertanian, di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata kerjasama itu perlu memandangkan Sabah tidak mahu ketinggalan dalam pertumbuhan pasaran makanan seperti nanas.

Beliau berkata, kedua-dua pihak membincangkan isu itu sejak 14 tahun lalu tanpa sebarang resolusi dan jika terus tertangguh ia akan menyekat pertumbuhan industri nanas di Sabah.

“Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan berhati-hati terhadap sensitiviti isu ini. Pertanian jatuh di bawah senarai negeri dan kita akan pertahankan hak ini.

“Sebenarnya Sabah sudah memutuskan untuk menubuhkan Lembaga Industri Nanas Sabah milik kita sendiri untuk melindungi kepentingan tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan persekutuan berhubung perkara ini,” katanya.

Katanya, jawatankuasa yang akan bertindak sebagai titik pertemuan di antara Sabah dan persekutuan itu akan membuat keputusan bagi memastikan Sabah boleh mendapat manfaat dan belajar daripada Lembaga Industri Nanas Malaysia (MPIB) dan memindahkan pengetahuan kepada Sabah demi masa depan industri itu di negeri ini.

Jelas Jeffrey, melalui kerjasama itu, kementerian persekutuan akan membantu dalam pembangunan tanah dan pemusatan pengeluaran selain mewujudkan Lembah Buah-Buahan Sabah dan Sistem Perniagaan Mikro Luar Bandar (RMBS).

Program lain katanya termasuk Syurga Sarang Burung Sabah, kebuniti, program usahawan tani muda, pembangunan Usahawan Bersepadu, pusat pengumpulan dan pemprosesan, penggredan serta pemasaran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|