90 peratus penjawat awam negeri hadir di pejabat

90 peratus penjawat awam negeri hadir di pejabat

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menetapkan 90 peratus kakitangan awam negeri hadir ke pejabat, manakala 10 peratus dibenarkan bekerja dari rumah dalam Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata bagi sektor awam persekutuan, 80 peratus jumlah kakitangan bekerja di pejabat, manakala 20 peratus bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, katanya ia tidak termasuk pekerja barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

“Sektor awam negeri pula, 90 peratus jumlah kakitangan bekerja di pejabat manakala 10 peratus bekerja dari rumah tertakluk kepada ketetapan oleh pihak berkuasa negeri,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Dalam Fasa 2 PPN sebelum ini, kerajaan Sabah menetapkan kehadiran 80 peratus kakitangan awam negeri di pejabat bermula 21 September lalu berbanding hanya 30 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Jun lalu.

Masidi berkata, bagi pergerakan individu kerajaan negeri hanya membenarkan tiga orang yang belum lengkap vaksin bagi setiap isi rumah keluar mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

Katanya, pergerakan kenderaan awam pula seperti bas ekspres, bas henti-henti, bas pekerja, bas sekolah, bas pelancong dan kereta api dibenarkan beroperasi semula dengan kapasiti 75 peratus penumpang.

Operasi pengangkutan awam itu dihentikan sejak kira-kira enam bulan lalu berikutan larangan rentas daerah di seluruh negeri sebelum ditamatkan sejak Khamis lalu.

Beliau berkata, operasi perkhidmatan teksi dan e-hailing pula dibenarkan membawa maksimum empat orang termasuk pemandu.

Pergerakan perkhidmatan feri dan bot komersil katanya turut dibenarkan beroperasi semula dengan 75 peratus kapasiti penumpang, manakala bagi feri kenderaan, muatan kenderaan adalah mengikut kapasiti sebenar feri.

Masidi turut mengumumkan pembukaan semula kafe siber dan pusat siber dengan 50 peratus kapasiti pelanggan, namun tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pameran dan aktiviti berkaitan dengan Meeting, Incentives, Conventions dan Exhibitions (MICE) secara bersemuka juga dibenarkan dengan syarat semua yang hadir sudah lengkap divaksin dan kapasiti 50 peratus ruang premis,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|