Tun Juhar isytihar Konvokesyen UMS ke-23 hari ini

Tun Juhar isytihar Konvokesyen UMS ke-23 hari ini

Kota Kinabalu: Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-23 diisytiharkan hari ini oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah selaku Canselor UMS, Tun Dr Juhar Mahiruddin.

Ia membabitkan seramai 4,229 graduan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Diploma Pascasiswazah, Ijazah Doktor Perubatan, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma yang menamatkan pengajian pada tahun ini.

Tun Juhar mengisytiharkan Majlis Konvokesyen UMS Ke-23 di Kota Kinabalu.

Juhar dalam ucapannya sempena pengisytiharan itu berkata, tahun ini menyaksikan pandemik Covid-19 masih lagi menjadi ancaman kepada negara dan global yang bukan saja memberi kesan negatif terhadap keselamatan kesihatan tetapi juga memberi tekanan kepada kapasiti serta kemudahan kesihatan di negeri ini.

Katanya, dalam bidang pendidikan, Covid-19 mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran apabila institusi pendidikan termasuk sekolah dan universiti terpaksa ditutup dalam tempoh yang lama sepanjang 2020 dan 2021 manakala kelas terpaksa dilakukan secara dalam talian.

“Sudah pasti kaedah pengajaran dan pembelajaran norma baharu secara dalam talian itu menuntut kesabaran dan komitmen yang tinggi daripada kedua pihak iaitu pelajar dan pensyarah.

“Dengan proses pengajaran dan pembelajaran tidak dilakukan secara fizikal seperti amalan biasa, pelajar dan pensyarah sebaliknya bertemu di alam maya melalui internet sedangkan mereka berada jauh antara satu sama lain sama ada di dalam kediaman atau asrama masing-masing,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengucapkan syabas kepada pensyarah yang menunjukkan kreativiti, dedikasi dan inovasi dalam menyampaikan ilmu secara lebih berkesan di sebalik kekangan yang dihadapi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

“Saya juga mengucapkan syabas kepada graduan kita kerana telah menamatkan pengajian dengan jayanya walaupun dalam persekitaran pembelajaran yang mencabar di kediaman atau asrama masing-masing.

“Semoga semua cabaran yang dihadapi itu akan menjadikan anda lebih berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran masa hadapan dengan lebih yakin,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya Juhar turut menyentuh komitmen UMS dalam membantu kerajaan negeri bagi meningkatkan kadar imunisasi rakyat di Sabah.

“Ia terserlah apabila Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT-UMS yang pada mulanya disasarkan untuk memberikan sebanyak 1,000 dos vaksin sehari telah mencatat rekod tertinggi sebanyak 3,840 dos vaksin pada 4 Ogos 2021.

“Sukacita saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Sabah atas sumbangan dana sebanyak RM1.5 juta bagi membiayai operasi PPV IPT-UMS.

“Dana itu menyerlahkan lagi kerjasama baik yang sedia terjalin antara kerajaan Sabah dan UMS dan membuktikan kepercayaan kerajaan negeri terhadap keupayaan UMS untuk memberikan sumbangan dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai sebuah universiti awam di Sabah, diharap UMS akan terus memberikan khidmat kepada rakyat khususnya di Sabah melalui penyelidikan dan inovasi agar kualiti kehidupan rakyat Sabah dapat dipertingkatkan.

“Hasil daripada kolaborasi UMS dengan pelbagai agensi Kerajaan yang berkaitan, beberapa projek inovasi yang memberikan kesan langsung kepada usaha memperbaiki taraf hidup rakyat telah berjaya dilaksanakan pada tahun 2021.

“Antaranya, ialah projek inovasi membekalkan air graviti bersih kepada penduduk luar bandar di Kampung Sapatalang di Pitas, Kudat dan Kampung Rungus Nahaba di Kiulu, Tuaran.

“UMS juga terlibat dalam projek mewujudkan Pusat Pengkomposan Komuniti Kundasang untuk membantu petani di kawasan tanah tinggi menguruskan sisa sayuran melalui kaedah pengkomposan bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar serta memastikan kelestarian alam sekitar terus dipelihara.

“Saya yakin akan ada lebih banyak lagi aktiviti, program atau projek yang bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat akan dilaksanakan pada masa hadapan oleh para pensyarah, penyelidik dan pelajar UMS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|