Institut Masa, PPMI bantu kanak-kanak Palauh terima pendidikan

Institut Masa, PPMI bantu kanak-kanak Palauh terima pendidikan

Kota Kinabalu: Menyedari kepentingan pendidikan dan memastikan nasib golongan minoriti mendapat pembelaan, Institut Masa Depan Malaysia (Institut Masa) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) Sabah tampil membantu dalam soal pendidikan kanak-kanak Palauh.

Sejajar kerjasama itu, kedua-dua pihak baru-baru ini melaksanakan mendekati etnik berkenaan termasuk lawatan ke tiga PPMI iaitu di Kampung Kabog dan Kunak 3 di daerah Kunak serta Kampung Hidayat, Pulau Bum-Bum di Semporna.

Azril (kiri) menyampaikan sumbangan peralatan pembelajaran dan pengajaran kepada Mudir PPMI Kampung Kabog, Lajunaidi Lajahidi di Kunak.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa, Azril Mohd Amin, berkata program berkenaan disertai seramai 14 kakitangan dan penyelidik Institut Masa serta guru PPMI bagi memberi peluang kepada penyelidik melihat dengan lebih dekat masalah dihadapi komuniti minoriti berkenaan, khususnya yang membabitkan aspek pendidikan.

“Kumpulan kanak-kanak Palauh ini menimba ilmu dalam keadaan penuh cabaran, serba kekurangan dan tercicir daripada arus perdana.

Ketua Penyelaras PPMI Sabah, Lajulliadi Lajahidi (kiri) menyampaikan lukisan hasil karya murid Palauh Kelas Bimbingan Insan, Kampung Kunak 3, kepada Azril di Kampung Kunak 3, Kunak.

“Bagaimanapun, di sebalik kekurangan ini mereka menunjukkan minat dan semangat yang tinggi untuk belajar terutama ilmu asas membaca, menulis dan mengira serta pendidikan agama Islam,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hubungan baik Institut Masa dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah seperti Haluan memudahkan perancangan rangka kerja jangka panjang bagi membantu komuniti itu.

Jelasnya, ia termasuk menyediakan latihan kemahiran dan vokasional kepada pelajar selain program motivasi untuk tenaga pengajar PPMI.

Institut Masa juga katanya akan meningkatkan kerja penyelidikan berkaitan hak pendidikan bagi kumpulan minoriti Palauh, kumpulan yang tercicir dan terpinggir selain bercadang menjadikan beberapa PPMI dan Kelas Bimbingan Insan (KBI) di negeri ini sebagai `sekolah angkat.’

“Program ini juga adalah sebahagian daripada usaha membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan memberi fokus kepada hak pendidikan untuk semua kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penyelaras PPMI Sabah, Lajulliadi Lajahidi, berkata pusat pendidikan itu bermula sebagai pusat aktiviti komuniti pada2011 dengan memberi fokus kepada pendidikan anak anak etnik minoriti dan miskin luar bandar Sabah yang terpinggir daripada program pembangunan arus perdana negara.

Dalam lawatan yang sama, Institut Masa turut menyumbang barangan keperluan pembelajaran dan pengajaran kepada tiga PPMI terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|