Sabah, Pulau Pinang bincang wujud Bandaraya Persahabatan untuk pelancongan

Sabah, Pulau Pinang bincang wujud Bandaraya Persahabatan untuk pelancongan

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah dan Pulau Pinang berbincang untuk mewujudkan hubungan Bandaraya Persahabatan bagi mempromosikan industri pelancongan di kedua-dua negeri berkenaan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, inisiatif itu sesuai dilaksanakan memandangkan Sabah dan Pulau Pinang kini berusaha untuk membina semula dan mengukuhkan sektor pelancongan di negeri masing-masing.

“Memandangkan kedua-dua negeri mempunyai lapangan terbang antarabangsa paling sibuk, inisiatif sebegini merupakan pendekatan strategik untuk membantu membawa masuk lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa di samping meningkatkan pendapatan pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas delegasi yang diketuai Joniston mengadakan pertemuan dengan EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang (PETACE) Yeoh Soon Hin di Pulau Pinang, semalam.

Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan potensi mewujudkan Bandaraya Persahabatan di antara Kota Kinabalu dan Georgetown.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Pemasaran Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Tay Shu Lan; Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang dan pegawai penyelaras PETACE, Grace Teoh.

Sabah dan Pulau Pinang dihubungkan melalui laluan udara dengan menggunakan perkhidmatan penerbangan AirAsia dengan penerbangan dua kali sehari manakala Malaysia Airlines mengendalikam penerbangan empat kali seminggu.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, kedua-dua negeri itu menawarkan produk destinasi pelancongan berbeza, yang mana kedua-duanya boleh saling membantu untuk dipromosikan oleh rakyat dan pelancong masing-masing.

“Walaupun kita mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Sabah, kita juga menggalakkan mereka untuk melawat ke negeri-negeri yang lain.

“Pelancong yang datang ke Sabah untuk melihat budaya unik, menikmati pulau-pulau yang indah, kekayaan hidupan marin, kehijauan alam semula jadi dan hidupan liar terancam yang hanya terdapat di Borneo.

“Mereka boleh terbang ke Pulau Pinang dengan mudah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk melihat tempat-tempat menarik di sana seperti seni jalanan, bangunan warisan, serta merasai makanan tempatan. Pelancong kemudian boleh pergi ke negeri-negeri yang lain pula,” ujarnya.

Sehubungan itu, Joniston berkata, inisiatif Bandaraya Persahabatan itu dilihat mampu meningkatkan hubungan kedua-dua kerajaan.

“Lawatan suai kenal media juga boleh dianjurkan untuk membantu mempromosikan Sabah dan Pulau Pinang.

“Saya berharap untuk bertemu dengan Datuk Bandar Kota Kinabalu dalam masa terdekat untuk membincangkan cadangan ini dengan lebih lanjut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|