Tun Juhar ingatkan rakyat terus waspada ancaman Covid-19 ketika sambut Hari Natal, Tahun Baharu

Tun Juhar ingatkan rakyat terus waspada ancaman Covid-19 ketika sambut Hari Natal, Tahun Baharu

Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mengingatkan rakyat negeri ini agar sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu 2022, Tun Juhar menjelaskan bahawa semua anggota masyarakat adalah benteng sebenar dalam usaha mengekang penularan virus berbahaya itu.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan Perutusan Khas Selamat Hari Natal 2021 dan Tahun Baharu 2022 di Istana Seri Kinabalu. Pix ihsan Jabatan Penerangan.

“Kitalah yang menjadi benteng sebenar dalam mengekang penularan Covid-19. Justeru itu, seluruh rakyat di negeri ini perlu sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP bagi mengelakkan jangkitan Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, semua sudah maklum bahawa Sabah sudah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal bulan lalu, sekali gus membolehkan hampir semua sektor dibenarkan beroperasi bagi memulihkan ekonomi negeri dan negara sejajar pencapaian program imunisasi Covid-19.

Namun demikian, katanya rakyat negeri ini tidak boleh alpa, sebaliknya perlu sentiasa menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

“Justeru, dalam menyambut perayaan Hari Natal dan Tahun Baharu serta pembukaan aktiviti di semua sektor, sukalah saya mengingatkan seluruh rakyat jelata supaya sentiasa beringat.

“Ambil berat tentang aspek keselamatan dan patuh kepada SOP yang ditetapkan sama ada ketika keluar rumah, bercuti atau di mana sahaja kita berada.

“Penetapan SOP sudah pasti telah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan kita bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Juhar berkata konsep rumah terbuka dan kunjung-mengunjung sudah menjadi amalan hidup dan tradisi rakyat Malaysia sejak dahulu, termasuk ketika sambutan Hari Natal.

Jelasnya, amalan itu mampu mengeratkan lagi tali silaturrahim dan perpaduan dalam kalangan masyarakat dan penduduk di negeri ini.

“Namun, pada ketika virus Covid-19 masih memberi ancaman, ditambah pula dengan kerisauan terhadap penularan varian baharu, kita perlu akur dengan apa juga nasihat atau penetapan SOP oleh kerajaan berkaitan aktiviti kunjung mengunjung,” katanya.

Menjelang Hari Natal dan tahun baharu yang akan tiba tidak lama lagi, Tun Juhar juga menyeru rakyat agar terus mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah, khususnya dalam keadaan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, beliau yakin kemeriahan dalam menyambut perayaan akan tetap dirasai meskipun dalam suasana penuh kesederhanaan.

“Tambahan pula, bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, perbelanjaan keluarga sudah tentulah ditumpukan kepada persiapan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak,” katanya.

Dalam perutusannya juga, Tun Juhar turut menyarankan agar rakyat terus menyuburkan keharmonian meskipun sambutan perayaan kini diadakan dengan pembudayaan norma baharu.

Beliau berkata, kebiasaan baharu itu sudah tentu akan sedikit sebanyak mempengaruhi interaksi sosial dalam kalangan masyarakat, namun ia tidak mengubah masyarakat untuk menjadi tidak lagi harmoni.

“Kita sedia maklum bahawa masyarakat yang harmoni dimulai dengan sikap bertanggungjawab, prihatin, kesatuan dalam keluarga dan seterusnya masyarakat.

“Seperti juga sambutan perayaan masyarakat yang lain di negara ini, Hari Natal memberi kesempatan dan peluang kepada kita untuk berbalas ucapan selamat dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan semua lapisan masyarakat.

“Melalui kecanggihan teknologi dan sistem penyampaian maklumat secara dalam talian yang pantas, ucapan salam perayaan kita sudah pasti akan lebih cepat dan meluas.

“Semoga semua ini akan memperkukuhkan lagi hubungan kekeluargaan, persaudaraan, persahabatan dan seterusnya membentuk masyarakat yang sentiasa bersatu padu dan harmoni,” katanya.

Tun Juhar juga merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan atas komitmen, kecekapan dan usaha yang telah dilakukan dalam menangani dan membendung penularan Covid-19 di negeri ini.

“Mereka ini termasuklah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), ESSCOM, Kastam Diraja Malaysia dan RELA.

“Turut terlibat ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi dan petugas di peringkat daerah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri, petugas-petugas program imunisasi, Pusat Operasi Pengurusan Bencana dan semua pihak yang terlibat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|