Tular kenderaan bergerak mengundur

Tular kenderaan bergerak mengundur

Sandakan: Seorang pemilik kereta pacuan empat roda yang dirakam memandu secara mengundur sehingga tular di media sosial mendakwa terpaksa melakukannya kerana masalah kotak gear.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lelaki berusia 44 tahun terbabit yang memandu Toyota Land Cruiser dirakam ketika berada di Bandar Kim Fung, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, sebaik kejadian itu tular di media sosial, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan terus bertindak pantas menyiasat kesahihan video berkenaan.

Rakaman video yang tular memaparkan kenderaan dipandu seorang lelaki bergerak secara mengundur hingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, siasatan mendapati kejadian memang benar berlaku di persimpangan lampu isyarat Bandar Kim Fung.

“Pihak polis juga berjaya mengesan kenderaan dan pemandu kenderaan berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun.

“Pemandu terbabit memberikan alasan kenderaan yang dipandunya mengalami kerosakan teknikal pada bahagian kotak gear,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Azhar berkata, disebabkan masalah itu, kenderaannya terpaksa dipandu secara mengundur.

“Walaubagaimanapun, tindakan sedemikian membahayakan dirinya dan juga pengguna jalanraya yang lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga membahayakan pengguna jalanraya yang lain,” katanya.

Mohd Azhar berkata, pemandu yang mengalami kerosakan kenderaan dinasihatkan untuk menggunakan khidmat tow truck untuk menunda kenderaan ke bengkel.

Katanya, tindakan yang dilakukan pemandu terbabit boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|