PEKDIS anjur korban berkelompok untuk golongan asnaf di Labuan

PEKDIS anjur korban berkelompok untuk golongan asnaf di Labuan

Labuan: Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (PEKDIS) cawangan Labuan tidak ketinggalan melaksanakan ibadah korban untuk diagihkan kepada golongan asnaf di sekitar pulau ini sempena sambutan Aidiladha, baru-baru ini.

Program korban berkelompok yang dilaksanakan di perkarangan premis Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Labuan itu adalah inisiatif PEKDIS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Penyelaras Program Korban PEKDIS Ustaz Sahrum Samlan, berkata program itu bertujuan untuk mendekati masyarakat, memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga Jabatan Pendidikan selain meraikan golongan kurang berkemampuan.

Katanya, sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Ia termasuk menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan 12 orang petugas, merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera, memastikan petugas sentiasa memakai pelitup muka, apron plastik pakai buang, sarung tangan getah dan pelindung muka sepanjang proses melapah dan memotong daging korban.

“Alhamdulillah, kita berjaya menyelesaikan kerja menimbang, memotong, membungkus dengan cepat biarpun hanya melibatkan 12 orang petugas.

“Proses agihan daging korban kepada 50 orang asnaf dalam kalangan murid dan pelajar sekolah sekitar wilayah Persekutuan Labuan berjalan lancar. Begitu juga agihan yang dilakukan oleh peserta korban sendiri untuk saudara mara dan jiran terdekat,” katanya.

Yang turut hadir dalam program itu ialah Pengarah MAQIS Labuan, Nazrul Azman Mat Rahim; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Labuan, Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Labuan, Kamariah Salim.

Sementara itu, Kamariah yang juga Pengerusi PEKDIS Cawangan Labuan, berkata pihaknya mendapat kebenaran untuk melaksanakan ibadah korban berkelompok daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, aktiviti program itu adalah sebagai manifestasi ubudiah kepada Allah SWT yang dirancang oleh PEKDIS Labuan sejak Januari lalu.

“Alhamdulillah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) membenarkan pelaksanaan program ibadah korban di Wilayah Persekutuan Labuan pada 2021 dengan pematuhan SOP ketat serta pemantauan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sembelihan tiga ekor lembu berlangsung seawal jam 7.30 pagi iaitu selepas solat sunat Aidiladha yang diadakan di Rumah Sembelih Ruminan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) begitu juga proses melapah.

“Bagi proses menimbang, memotong dan membungkus pula dilaksanakan di perkarangan pejabat MAQIS bersebelahan denga Pusat Sembelihan yang dikendalikan oleh 12 orang petugas terdiri daripada mereka yang sudah selesai menerima dua dos vaksin Covid-19.

“PEKDIS menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas jalinan kerjasama yang sangat baik diberikan pihak MAQIS sepanjang program ini berlangsung. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Pelaksanaan ibadah korban pada tahun ini sama seperti tahun lalu, iaitu tiada aktiviti masak-memasak seperti kebiasaan dilakukan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|