Tugas mencabar atasi isu jalan raya, air – Bung Moktar

Tugas mencabar atasi isu jalan raya, air – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui berdepan tugas mencabar sepanjang setahun menerajui Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS), lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sebagai kementerian yang diberi tanggungjawab untuk menyedia dan menangani pelbagai isu berkaitan infrastruktur di Sabah, ia sentiasa mendapat perhatian masyarakat, terutama berkaitan isu air dan jalan raya.

“Tahun pertama menerajui KKRS memang sangat mencabar, ia satu kementerian yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat terutamanya perkara-perkara yang berkaitan kemudahan insfrastruktur asas untuk kepentingan rakyat.

“Keadaan lebih mencabar apabila Covid-19 melanda dan kita terpaksa menghadapinya dalam keadaan tidak bersedia. Saya mengakui sebaik melangkah memasuki kementerian ini, banyak cabaran berkaitan isu insfrastruktur asas perlu saya lalui.

“Banyak isu yang belum selesai dan terpaksa saya warisi antaranya sistem perhubungan jalanraya, bekalan air bersih dan bencana alam yang tidak terduga seperti hujan, banjir yang mengakibatkan jalan, cerun runtuh, jambatan terputus dan juga masalah bekalan elektrik,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian dalam kenyataan sempena setahun pemerintahan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata sehubungan itu beliau menggariskan misi utama untuk menyelesaikan masalah jalan raya dan air memandangkan kedua-duanya masih membelenggu rakyat di negeri ini.

“Saya mengakui sistem perhubungan jalan raya di negeri ini masih jauh ketinggalan berbading negeri lain. Usaha berterusan perlu terus dilaksanakan bagi membaiki jalan yang rosak sama ada yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mahupun konsesi yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau turut memberi perhatian terhadap projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang katanya boleh memakan masa hingga 45 tahun untuk disiapkan memandangkan kurang peruntukan dana disediakan kerajaan persekutuan.

Jelasnya, RM1 bilion setahun yang disediakan tidak mencukupi untuk menyiapkan projek itu dalam tempoh yang singkat kerana masih banyak pakej belum bermula dalam tiga fasa yang dirancang menerusi projek itu.

“Kita mempunyai tiga fasa iaitu melibatkan pembinaan keseluruhan sepanjang 1,236 kilometer (km) dengan anggaran kos RM40.2 bilion. Fasa satu projek ini melibatkan 35 pakej telah siap proses reka bentuk membabitkan pembinaan sejauh 706 km dengan kos RM15.2 bilion dan 15 pakej dalam peringkat pembinaan pada masa ini, melibatkan 317.6 km dengan kos RM7.98 bilion di bawah pembiayaan kerajaan Persekutuan.

“Oleh kerana projek ini menelan kos yang tinggi ketika negara kita berhadapan dengan masalah ekonomi yang merudum disebabkan penularan pandemik Covid-19, kerajaan negeri mengambil keputusan agar projek ini diteruskan dengan keadah inisiatif pembiayaan swsata (PFI) dan cadangan itu sudah dikemukakan kepada kerajaan Pusat untuk kelulusan,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu air, beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata hampir seluruh negeri ini menghadapi masalah bekalan air bersih disebabkan permintaan tinggi dengan wujudnya bandar baharu, kawasan perumahan dan perindustrian, selain masalah paip bocor yang dibina sejak zaman British lagi.

Jelasnya, daripada 84 loji rawatan air di Sabah juga, sebanyak 22 loji rawatan air menghadapi masalah seperti kedudukannya yang tidak sesuai dan tidak mampu menampung keperluan pengguna.

“Untuk menangani isu ini kita memerlukan sekurang-kurang RM13 bilion untuk meningkatkan prasarana termasuk mengganti paip sedia ada dan membina loji rawatan air (LRA) yang baharu.

“Bagi menangani isu bekalan air ini juga, KKRS sudah membentangkan kepada Kabinet hala tuju dan strategi jangka panjang untuk mengurus bekalan air di negeri ini termasuklah merombak operasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan menswastakan perkhidmatan bekalan air untuk mengatasi gangguan bekalan air yang sering berlaku di negeri ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|