Tawau: Semua warga Indonesia yang tinggal di daerah ini boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di pejabat Konsulat Republik Indonesia (KRI), di sini, bermula Jumaat ini.
Ketua Perwakilan KRI Tawau, Heni Hamidah berkata, program pemberian vaksin itu adalah inisiatif pihaknya bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau.
“Kami sudah membuat perbincangan dengan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Arnold Joibi dan Pegawai Kesihatan Tawau, Dr G Navindran di pejabat KRI, baru-baru ini.
“Semua pihak bersetuju untuk menjalankan program vaksinasi di pejabat KRI Tawau kepada warga Indonesia yang belum mendapatkan suntikan vaksin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, KRI Tawau menganggarkan lebih 200 warga Indonesia yang menetap di daerah ini akan hadir untuk menerima suntikan vaksin itu nanti.
“Saya memohon semua warga Indonesia yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 supaya dapat hadir pada Jumaat ini.
“Kepada sesiapa yang mahu mendapatkan suntikan itu diminta menghubungi KRI Tawau di talian 01116230800 atau 0198228800,” katanya.
Heni berkata, semua warga Indonesia yang hadir dalam program vaksinasi itu nanti diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Saya berharap program vaksinasi yang dijalankan di pejabat KRI Tawau itu nanti dapat membantu daerah Tawau mencapai imuniti kelompok dengan segera,” katanya.
-Deasoka