Isu MA63 ditangani satu-persatu – Hajiji

Isu MA63 ditangani satu-persatu – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau yakin isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hubungan di antara negeri dan persekutuan dapat ditangani satu persatu atas semangat kekitaan sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

Beliau menegaskan, prinsip hidup bernegara sama seperti konsep hidup berkeluarga yang mana ada masanya berlaku perbezaan pendapat.

“Seakrab mana pun hubungan, kita tidak mungkin akan sependapat dalam segala hal. Apatah lagi jika ada lautan di tengah-tengah yang memisahkan wilayah dan keunikan susur galur sejarah masing-masing.

“Namun, dalam dunia hari ini yang semakin gawat dengan segala bentuk ancaman geo-politik, perpaduan yang dibentuk melalui semangat kekeluargaan adalah menjadi satu kewajipan, bukan lagi sekadar pilihan,” katanya pada Majlis Setahun Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bersama Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, apa yang penting rakyat neger ini perlu sentiasa positif bahawa sebarang perbezaan dan pertembungan kepentingan akan dapat dirungkai melalui rundingan dan permuafakatan.

Jelasnya, retorika politik untuk meraih populariti bukanlah jawapan dan jauh sekali membawa nilai dan makna kepada agenda perjuangan.

“InsyaAllah, kita optimis, selagi mana kita mengutamakan citra kekeluargaan lebih daripada segala kepentingan lain, isu-isu tertangguh yang melingkari hubungan antara negeri dan persekutuan akan menemui titik kesepakatan demi kelestarian tanah air tercinta,” katanya.

Beliau sebelum itu turut menyatakan penghargaan atas komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengulangi tekad untuk menyelesaikan isu berhubung MA63 ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Parlimen, kelmarin.

Sementara itu, Hajiji berkata beliau bersama rakan pimpinan GRS terus komited untuk memberikan sehabis baik ke arah membawa kemajuan dan kesejahteraan yang lebih bernilai dan bermakna kepada negeri rakyat.

Katanya, mandat dan kepercayaan yang diberikan akan dilaksanakan dengan azam dan tekad untuk memenuhi aspirasi rakyat serta membawa perubahan ke arah kehidupan rakyat yang lebih baik dan berkualiti.

“Pimpinan kerajaan tidak boleh mencapai hasrat ini secara bersendirian tanpa dokongan penjawat awam dan rakyat secara keseluruhannya.

“GRS membawa nilai dan citra kebersamaan semua masyarakat di Sabah tanpa mengira perbezaan latar belakang, berkongsi aspirasi untuk membina masa depan yang jauh lebih makmur

“Ayuh kita bekerjasama, berganding bahu, bersatu demi kepentingan bersama, atas satu matlamat – membina Keluarga Malaysia untuk masa depan Sabah yang lebih Maju dan Berjaya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|