Tiada kes kematian remaja disebabkan vaksin – JKNS

Tiada kes kematian remaja disebabkan vaksin – JKNS

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini menafikan berlaku kematian seorang remaja yang didakwa berpunca daripada suntikan vaksin Covid-19 di Lahad Datu.

Pengarahnya, Dr Rose Nani Mudin, berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan menegaskan rakaman video mengenai dakwaan berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini adalah palsu.

“Adalah dimaklumkan bahawa dakwaan itu tidak benar kerana JKNS dan Pejabat Kesihatan Kawasan Lahad Datu menafikan berlaku kematian seperti yang didakwa dan pihak JKNS sudah membuat laporan polis terhadap dakwaan itu.

“Perbuatan individu ini boleh menimbulkan perasaan panik dan kebimbangan orang ramai terutamanya ibu bapa dan remaja yang bakal menerima suntikan vaksin.

“JKNS menyeru kepada orang ramai khususnya ibu bapa supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat yang tidak benar mengenai vaksin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, mana-mana individu atau pihak yang musykil dan masih tidak faham mengenai vaksin boleh menghubungi JKNS di talian hotline PICK 019-6051196 atau emel picksabahmyvas@gmail.com.

Tambahnya, sesiapa yang belum menerima vaksin boleh mendapatkannya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau melalui aktiviti jangkauan luar terdekat.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauaan JKNS, 80 peratus hingga 90 peratus pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah individu yang belum divaksin.

Jelasnya, vaksin mampu mencegah jangkitan Covid-19 dan kematian yang berpunca daripada virus berkenaan.

“JKNS menyeru ibu bapa atau penjaga segera untuk mendaftarkan remaja jagaan masing-masing di aplikasi MySejahtera dan mendapatkan vaksin segera bagi melindungi diri mereka dan keluarga.

“Patuhi prosedur operasi standard (SOP) di mana pun anda berada, sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam, jaga jarak fizikal, tidak bersentuhan dan kerap mencuci tangan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|