Kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bela nasib rakyat

Kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bela nasib rakyat

Kota Kinabalu: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan dalam memastikan nasib rakyat di negeri ini sentiasa terbela.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, negeri Sabah sudah menerima pelbagai jenis bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan sama ada melalui kerajaan negeri mahupun secara langsung kepada rakyat di Sabah.

Katanya, ia meliputi bantuan pengurusan Covid-19 serta bantuan-bantuan pemulihan ekonomi rakyat dan negeri.
 
“Setakat ini, Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM256.9 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan sejumlah RM110 juta disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk pengurusan berkaitan COVID-19.

“Kerajaan Persekutuan juga melaksanakan pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi yang turut membabitkan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Setahun Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bersama Rakyat yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Hajiji berkata, antaranya bantuan yang disalurkan termasuk pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pakej rangsangan lain seperti PRIHATIN, PENJANA, PERMAI, PEMERKASA dan PEMULIH.

Katanya, semua inisiatif itu bertujuan untuk memulihkan sektor-sektor ekonomi dan sosial yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat di Sabah.

“Melalui Program Subsidi Upah, ia membabitkan seramai 283,745 pekerja dengan perbelanjaan sebanyak RM975 juta pada tahun ini.

“Selain itu, seramai 782,000 rakyat negeri ini turut menerima bantuan tunai melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) membabitkan peruntukan RM628 juta bagi meringankan kos sara hidup dan pemulihan sosio-ekonomi. Manakala, bagi Bantuan Khas Covid-19 (BKC) ia sedang dalam proses pengagihan ketika ini,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, agenda kebajikan rakyat perlu bergerak seiring dengan pengurusan pandemik Covid-19 dan proses pemulihan ekonomi.

“Atas sebab itu, dalam memastikan kebajikan dan kesihatan awam ditangani sehabis baik, sejak dari awal mengambil alih pentadbiran, Kerajaan GRS mula merancang strategi bagi pemulihan ekonomi dalam tempoh dan pasca pandemik.

“Pada 29 Mac 2021, iaitu dalam tempoh genap enam bulan dari tarikh penubuhan Kerajaan Negeri, Kerajaan GRS melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dimulakan dengan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 bagi tempoh 2021-2025.

“Hala Tuju SMJ merangkumi pelbagai inisiatif yang menyentuh sembilan tumpuan Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|