Tugas berat jumpa JDT Jumaat ini – Ong Kim Swee

Tugas berat jumpa JDT Jumaat ini – Ong Kim Swee

Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui tugas berat menanti skuad Sang Badak bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Likas, Jumaat ini.

Beliau turut mengakui perlawanan itu adalah cabaran besar pertama yang perlu dihadapinya selepas secara rasmi dilantik sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC bermula pada 1 Oktober lalu.

Kim Swee berkata pasukannya hanya bersandarkan kepada persiapan latihan selama sebulan yang diharap dapat diterjemahkan dengan keputusan yang positif ketika berdepan kunjungan pemain JDT nanti.

Beliau berkata, setiap perlawanan pasti ada kelemahan dan kekuatan, namun tegasnya semua pemain perlu fokus agar dapat menyaingi kekuatan pasukan JDT.

“Kita mengakui pasukan Sabah FC mempunyai banyak kelemahan dan ada juga kekuatan tetapi kelemahan paling ketara ialah dibolosi begitu banyak gol dalam saingan Liga Super lalu.

“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan dan kelemahan yang ada ketika bertemu JDT nanti dan percayalah banyak perkara telah diperbaiki sepanjang tempoh rehat sebulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi latihan skuad Sang Badak di padang sintetik Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.

Kim Swee berkata ketika ini Sabah FC boleh meletakkan sasaran yang positif sekali gus tidak boleh membenarkan JDT untuk menguasai perlawanan Jumaat nanti.

“Kita perlu yakin bahawa bermain di laman sendiri adalah salah satu kekuatan yang kita ada di samping sokongan daripada penyokong selepas dibenarkan hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021 bermula Jumaat ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|