Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas bermula esok (28 Oktober).
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, bagaimanapun berkata penerima perlu memenuhi syarat sudah lengkap vaksin dalam tempoh enam bulan bagi penerima vaksin jenis Comirnaty (Pfizer) dan sekurang-kurangnya tiga bulan bagi vaksin Coronavac (Sinovac).
Katanya, individu yang mahu mendapatkan dos penggalak boleh datang terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau mana-mana klinik yang melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 di seluruh negeri.
“Orang ramai juga boleh mendapatkan suntikan dos penggalak ketika program jangakuan luar jika ada dilaksanakan di kawasan mereka.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru kepada semua individu yang berumur 60 tahun dan ke atas serta layak menerima dos penggalak untuk tampil mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 dengan segera bagi mengoptimakan tahapperlindungan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Sabah memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 pada 20 Oktober lalu membabitkan kumpulan barisan hadapan kesihatan dan keselamatan.
Program itu dijadualkan dilaksanakan selama sebulan sehingga 20 November depan sebelum disusuli pemberian dos penggalak kepada golongan warga emas dan berisiko.
Shahelmey yang juga EXCO Kesihatan negeri, berkata mengambil kira pencapaian semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah yang baru mencapai 72.5 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin dan 76.6 peratus menerima satu dos suntikan, kerajaan membuat keputusan melaksanakan pemberian dos penggalak kepada warga emas bermula esok.
“Dos penggalak bertujuan supaya penerima vaksin boleh mendapatkan tahap perlindungan yang optima daripada jangkitan Covid-19,” katanya.
Berdasarkan panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya pemberian dos penggalak adalah menggunakan sama ada vaksin Comirnaty (Pfizer) atau Coronavac (Sinovac).
Dos penggalak, katanya diberikan secara percuma di bawah PICK.
-Deasoka