TUDM bantu hantar 99,400 dos vaksin ke Sabah

TUDM bantu hantar 99,400 dos vaksin ke Sabah

Kota Kinabalu: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah untuk membuat penghantaran sebanyak 99,400 dos vaksin Covid-19 dari Sarawak, hari ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata, penerbangan ‘logistic communication” itu membuat penghantaran vaksin jenis Comirnaty dari tiga lokasi iaitu Kuching, Sibu dan Bintulu, Sarawak untuk dibawa ke Tawau.

Katanya, pemindahan vaksin itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Sabah dalam meningkatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat Sabah bagi mencapai sasaran imunisasi kelompok iaitu 80 peratus menjelang Oktober depan.

“Pesawat angkut C130 yang berlepas dari Pangkalan Udara Labuan tiba di Pangkalan Udara Kuching pada jam 11.30 pagi tadi sebelum meneruskan perjalanan untuk pengambilan vaksin di Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Bintulu.

“Pesawat kemudiannya meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Tawau dan tiba pada jam 4.30 petang sebelum penyerahan disampaikan kepada Jabatan Kesihatan negeri Sabah,” katanya.

Menurutnya, peranan TUDM khususnya di dalam sokongan logistik melalui penghantaran udara adalah bagi membantu negara menangani krisis kesihatan global pandemik Covid-19.

Katanya, ia dilaksanakan secara berterusan sejak wabak Covid-19 melanda negara pada Mac 2020 berikutan pesawat komersial terpaksa menghentikan operasi penerbangan.

“TUDM sentiasa bersiapsiaga dan terus komited dalam melaksanakan peranan utama dan sekunder termasuklah tanggungjawab sosial kepada masyarakat demi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus dipelihara.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua anak kapal yang terbabit serta semua pihak yang melaksanakan usahasama bersepadu membabitkan Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI), MKN negeri Sabah dan Sarawak dan Jabatan Kesihatan.

“Begitu juga dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pasukan TUDM membabitkan Pangkalan Udara Kuching, Pangkalan Udara Labuan dan Pusat Bantuan Operasi TUDM Tawau,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|