Bom peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui

Bom peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui

Beaufort: Sekumpulan pekerja binaan yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan terkejut selepas menemui sebutir bom lama di kawasan tapak pembinaan perumahan LPPB, berhampiran Taman Wawasan, di sini, pagi tadi.

Bom lama yang dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua itu ditemui kumpulan pekerja terbabit kira-kira jam 10 pagi sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, sebaik menerima laporan itu, sepasukan polis dikerah bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui sebutir bom lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua.

“Siasatan mendapati bom lama itu ditemui oleh pekerjaan binaan ketika melaksanakan pembersihan tapak perumahan LPPB yang bermula sejak Mei lalu.

“Anggota polis kemudian memasang tali kuning PDRM untuk mengelak orang ramai menghampiri atau mendekati lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, bom lama itu akan dimusnahkan esok pagi.

“Pemusnahan itu akan dilaksanakan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, esok pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|