Covid-19 Sabah: Rakyat diingatkan supaya patuhi SOP dengan serius

Covid-19 Sabah: Rakyat diingatkan supaya patuhi SOP dengan serius

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengulangi peringatannya kepada rakyat negeri ini supaya terus mempraktikkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan serius khususnya pemakaian pelitup muka dengan betul sama ada individu yang belum divaksin atau sudah divaksin.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata peranan dan tanggungjawab semua pihak amat diperlukan untuk menangani pandemik Covid-19 melalui pematuhan SOP yang ditetapkan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.

“Pemantauan di lapangan mendapati ketidakpatuhan pemakaian pelitup muka dan kurangnya kesedaran masih berada pada tahap yang membimbangkan. Ia berdasarkan peningkatan bilangan kompaun harian yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sebanyak 20 kompaun kerana melanggar SOP Covid-19 dikeluarkan di Sabah hari ini dengan sembilan orang dikompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, diikuti masing-masing empat kompaun atas kesalahan gagal mendaftar masuk premis dan membawa penumpang berlebihan.

Masidi berkata, Sabah mencatat penurunan sebanyak 256 kes kepada 2,578 kes hari ini, berbanding 2,834 kes semalam, namun ia masih pada paras yang tinggi.

Kes kematian akibat Covid-19 turut merekodkan peningkatan dengan sebanyak 46 lagi kes dilaporkan hari ini, menjadikan ia jumlah tertinggi selepas 41 kes dilaporkan kelmarin dan 17 kes semalam.

Katanya, sebanyak 11 kes kematian dilaporkan di Tawau, diikuti 10 kes di Kota Kinabalu, sembilan kes di Sandakan, masing-masing tiga kes di Tuaran dan Keningau, manakala masing-masing dua kes di Kinabatangan, Penampang dan Kalabakan, diikuti masing-masing satu kes di Papar, Kudat, Putatan dan Lahad Datu.

“Seramai 1,722 pesakit COVID-19 pula sembuh hari ini, manakala seramai 5,003 ssedang dirawat termasuk 214 orang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 75 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata lebih separuh daripada 2,578 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah kes tertunggak yang turut menjadi antara sebab jumlah kes tinggi di Sabah sejak kebelakangan ini.

Katanya, sebanyak 1,064 kes atau 41.3 peratus daripada 2,578 kes hari ini adalah kes positif yang selesai diuji antara dua hingga tiga hari lalu, diikuti 171 kes atau 6.6 peratus didaftar lewat antara empat hingga lima hari lalu, manakala 207 kes atau lapan peratus daripada keseluruhan kes hari ini didaftar lewat melebihi lima hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|